Cadang laksana balik GST pada kadar 3 peratus

97

18 OGOS: Seorang penyokong kerajaan hari ini mencadangkan pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar rendah iaitu 3 peratus berbanding 6 peratus, sebelum ini.

Ahli Parlimen BN Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias, berkata pengenalan semula GST pada kadar 3 peratus itu penting bagi menampung kekurangan hasil negara berikutan penurunan harga minyak mentah dunia, sejak kebelakangan ini.

“Adakah terdapat sebarang kajian dilakukan Kementerian Kewangan (MOF) untuk melihat kemungkinan kerajaan memperkenalkan semula GST pada kadar lebih rendah. Kalau dulu kadar GST ialah 6 peratus tetapi sekarang kerajaan patut kurangkan kepada hanya 3 peratus bagi memulihkan semula ekonomi negara.

“Saya juga ingin bertanya kepada Menteri Kewangan mengenai prestasi kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dikatakan PH sebelum ini adalah lebih baik daripada GST. Berapakah kutipan SST setakat suku kedua tahun 2020,” katanya ketika membahaskan usul Rang Undang-Undang COVID-19 (Langkah Sementara) bagi mengurangkan impak penularan COVID-19 di Parlimen, sebentar tadi.

Ahli Parlimen BN Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, ketika mencelah mendedahkan kerajaan PH hanya menghapuskan satu cukai iaitu GST namun mengenakan pelbagai jenis cukai lain kepada rakyat.

“Apabila kerajaan PH menghapuskan GST mereka menukarkanya dengan banyak cukai… Mansuh satu cukai tetapi digantikan dengan banyak cukai lain termasuk SST; cukai perkhidmatan; cukai soda; cukai digital; cukai pelepasan dan cukai tafsiran PBT dinaikkan serta duti setem dinaikkan.

“Biarpun PH banyak memperkenalkan cukai baharu namun mereka masih gagal menampung kerugian lebih RM23 bilion akibat penghapusan GST,” katanya. -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.