Tiga parti mula gerakkan kempen

65

17 OGOS: Kerjasama antara Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim telah mula digerakkan kerana semua parti mempunyai matlamat memenangkan calon BN.

Calon BN, Mohd Zaidi Aziz, 43, berkata meskipun kempen ketiga-tiga parti dilihat bergerak secara berasingan, namun perkara itu bukan satu masalah kerana setiap parti mempunyai sasaran masing-masing.

“Saya telah berhubung dengan kepimpinan Bersatu di sini (Slim) untuk mereka buat gerak kerja, mengenali pengundi dan jentera mereka bergeraklah dari segi itu untuk menemui ahli dan pengundi Bersatu.

“Kita lebih fokus, maknanya UMNO jaga UMNO, MIC jaga MIC, MCA jaga MCA, Bersatu jaga ahli Bersatu, PAS jaga ahli Pas dan kombinasi itu ke arah mengundi BN,” katanya kepada media semasa sesi perjumpaan dengan pengundi di Pekan Trolak di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Zaidi yakin bahawa beliau dapat memperoleh sekurang-kurangnya 14,000 undi dengan bantuan Bersatu.

“Yang bertanding dulu Bersatu tetapi atas tiket Pakatan Harapan (PH). Bila orang Bersatu, maknanya dia ada pengikut, dia boleh tarik separuh daripada pengundinya dan ahli atas pagar yang mungkin dulunya bersama dengan mereka,” katanya yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim.

PRK DUN Slim diadakan 29 Ogos berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib akibat serangan jantung, pada 15 Julai lepas.

Pada PRU14, Allahyarham Mohd Khusairi yang mewakili BN, menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket Parti Keadlian Rakyat, Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal.

PRK DUN Slim menyaksikan Mohd Zaidi, berdepan pertandingan tiga penjuru dengan dua calon lain iaitu calon Bebas S. Santharasekaran, 44, dan peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38.

Amir merupakan calon proksi kem Tun Dr Mahathir Mohamad.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.