Tiada ADUN Bersatu Johor keluar parti

76

17 OGOS: Dakwaan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar parti dan menyertai pembangkang disifatkan berniat jahat untuk memporak-perandakan kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri berkata, dakwaan itu hanyalah khabar angin yang tidak berasas, malah dibuat tanpa merujuk kepada pemimpin Bersatu.

Beliau turut menasihatkan ahli Bersatu agar tidak menyebarkan khabar angin palsu jika mereka menerima kiriman mesej WhatsApp berhubung perkara itu.

“Jika berita palsu seperti ini kita sendiri tularkan, sudah tentulah ia menjadi suatu kekecohan sehingga akhirnya ada yang terpedaya dan percaya pula.

“Tidak ada mana-mana ADUN Bersatu di Johor yang keluar parti untuk menyertai pembangkang. Saya minta semua pihak terutama ahli Bersatu supaya jangan percaya khabar angin yang hanya mahu melemahkan kita,” katanya dalam sidang media selepas majlis pembukaan rasmi sempadan Malaysia-Singapura di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Solihan yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor berkata, beliau bertemu Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad pagi tadi sebagai rutin setiap pagi Isnin untuk semua Exco Kerajaan Negeri bersarapan pagi bersama-sama.

“Bagaimanapun Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor tidak dapat bersama pagi tadi kerana mempunyai urusan rasmi lain,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial, tiga ADUN Bersatu Johor kononnya mengisytiharkan keluar parti sekali gus menyertai pakatan pembangkang.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.