RUU penguntukan semula perbelanjaan lulus dengan lebih 5 undi

192

17 OGOS: Dewan Rakyat meluluskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan semula peruntukan perbelanjaan) 2020 bagi perkhidmatan tahun 2020 sebanyak RM7,184,083,200 menerusi undi belah bahagi.

RUU yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 21 Julai lalu itu diluluskan selepas mendapat 111 undi menyokong dan 106 menolak daripada Ahli Parlimen menerusi undian belah bahagi manakala lima ahli wakil rakyat tidak hadir seperti diumumkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Terdahulu, keadaan Dewan Rakyat mengalami sedikit kekecohan selepas Ahli Parlimen pembangkang bangun mempertikaikan tindakan Azhar keluar dewan ketika sesi undian masih belum diselesaikan.

Sebelum itu, Azhar meminta tempoh selama 10 minit bagi membolehkan Ahli Parlimen yang berada di bangunan baharu di sebelah hadir ke Dewan Parlimen bagi ditanguhkan seketika selama 10 minit bagi membolehkan membuat pengundian sekali gus menyebabkan ramai wakil rakyat pembangkang bangun mempertikaikan tindakan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terbabit.

Antara Ahli Parlimen PH yang bangun mempertikaikan tidak Azhar termasuklah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad; Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer; Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Bagaimanapun, selepas 10 minit dewan ditangguhkan, Azhar kembali masuk bagi mempengerusikan mesyuarat dan meminta undian belah bahagi dimulakan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah, ketika menggulung RUU berkenaan berkata, ia dibentangkan bagi memantapkan sistem penyampaian kerajaan selain memastikan pertindihan fungsi antara kementerian dapat diminimumkan.

Mohd Shahar berkata, kewujudan kementerian baru seperti Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Alam Sekitar dan Air serta pengwujudan semula Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) adalah bertujuan memperkemaskan jentera perkhidmatan kerajaan.

“Kementerian Perpaduan Negara sebenarnya bukan kementerian baru. Ia pernah diwujudkan pada 1972 dan pada 1980, ia sudah distrukturkan sebagai Jabatan Perpaduan dan Rukun Tetangga dan diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri.

“Kementerian Alam Sekitar dan Air pula berperanan dalam meneraju pengurusan air secara mampan dan kelestarian alam sekitar serta memulihara alam sekitar.

“Begitu juga KPT dan Kementerian Pendidikan (KPM) sudah beberapa kali digabung dan dipisahkan. Kerajaan berpandangan KPT dan KPM perlu menjadi entiti berasingan dalam memperkasa pendidikan negara,” katanya sambil menambah ini bagi membolehkan dasar digubal lebih fokus dan terancang serta memudahkan aspek pemantauan untuk kumpulan sasar.

Permohonan peruntukan itu adalah berikutan penyusunan semula beberapa kementerian, penubuhan beberapa kementerian baharu dan pembubaran satu kementerian selaras dengan pembentukan kabinet baharu pada 10 Mac 2020.

Perbelanjaan tambahan itu dimohon untuk Jabatan Perdana Menteri iaitu sebanyak RM310,621,700, Perbendaharaan (RM17,253,000) dan Perkhidmatan Am Perbendaharaan (RM2,405,900).

Peruntukan itu juga adalah bagi Kementerian Perpaduan Negara (RM240,452,000), Kementerian Luar Bandar (RM189,165,000), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (RM102,603,900) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (RM10,000,000).

Selain itu ia turut melibatkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (RM12,410,600), Kementerian Alam Sekitar dan Air (RM305,993,000), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (RM70, 366,000) dan Kementerian Pengajian Tinggi (RM5,922,811,700). – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.