RM44.6 juta peruntukan jalan desa Sarawak

49

17 OGOS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM44.6 juta kepada Sarawak untuk projek pembinaan jalan perhubungan desa dari kawasan luar bandar ke bandar utama tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Henry Sum Agong berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM3.25 juta diperuntukkan untuk pembinaan sembilan projek tersebut di kawasan Parlimen Bintulu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen GPS Lawas berkata, semua peruntukan berkenaan sudah disalurkan kepada pejabat KPLB Sarawak dan semua projek terbabit akan dilaksanakan oleh pejabat daerah berkenaan.

Menurut Henry, kementerian juga akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi masyarakat luar bandar khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).

“Antara program disediakan termasuklah program peningkatan pendapatan (PPP), pembangunan keusahawanan, pembiayaan dan pemasaran produk usahawan luar bandar, program desa lestari serta program latihan kemahiran dan kerjaya, projek pembangunan ekonomi kampung (PROSPEK).

“KPLB yakin pelbagai program dan inisiatif dilaksanakan dapat membantu meningkatkan pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar di negara ini pada masa depan,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen GPS Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang meminta menteri berkenaan menyatakan jumlah peruntukan projek tersebut. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.