PRN Sabah 26 September, kempen 14 hari

230

17 OGOS: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ditetapkan pada Sabtu, 26 September 2020 dengan tempoh kempen berlangsung selama 14 hari bermula 12 September iaitu selepas selesai proses penamaan calon.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom dalam sidang media sebentar tadi selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi menentukan tarikh-tarikh penting PRN Sabah Ke-16 di Kota Kinabalu.

Beliau juga memaklumkan selagi tidak menerima apa-apa arahan dari mahkamah, SPR perlu menetapkan tarikh-tarikh penting untuk PRN Sabah.

“Kita terus bersedia untuk mengadakan PRN Sabah. Selagi belum ada arahan mahkamah, kita terus kena bersedia dengan tanggungjawab kita,” jelas Dr Azmi.

Beliau ditanya mengenai prosiding semakan kehakiman keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah membubar Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini sedang didengar Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

PRN Sabah perlu diadakan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 30 Julai lalu selepas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal memohon kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Tambah Dr. Azmi, PRN Sabah kali ini dijangka memerlukan perbelanjaan sebanyak RM186 juta manakala daftar pemilih yang akan digunakan ialah Daftar Pemilih Induk 2019 dan Daftar Pemilih Tambahan ST1 2020 yang dikemas kini sehingga 29 Julai lalu.

“Daftar pemilih tersebut mengandungi jumlah pemilih seramai 1.124 juta pengundi. Daftar pemilih ini akan mula dijual pada 7 September Isnin.

“SPR akan menghantar voters card yang antaranya turut mengandungi cadangan waktu membuang undi bagi membantu dalam pematuhan jarak fizikal di pusat pembuangan undi,” katanya.

Tambah Dr Azmi, SPR menyasarkan 70 peratus keluar mengundi pada PRN Sabah dan beberapa penambah baikan dilakukan bagi mengelak kesesakan di pusat pengundian sekali gus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) akibat COVID-19.

Katanya, ini termasuk memanjangkan tempoh waktu mengundi yang akan dimulakan lebih awal iaitu dari pukul 7.30 pagi hingga 5 petang termasuk menyediakan saluran khas kepada warga emas selain menambah saluran pengundian.

“SPR akan laksanakan kempen Jom Kita Undi melalui pelbagai saluran media untuk menggalakan pemilih keluar mengundi.

“Jumlah saluran mengundi juga kita tambah menjadi 2,613 saluran berbanding 2,281 saluran pada Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU-14),” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.