PRK Slim, PRN Sabah cabaran pertama Wan Fayshal

106

17 OGOS: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai cabaran pertama beliau setelah dipilih Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu, kepimpinan baharu Armada akan menguruskan cabaran ini sebaiknya dengan langkah pertama adalah mengaktifkan jentera parti untuk kedua-dua pilihan raya tersebut.

“Ini perlu dilakukan segera bagi membolehkan gerak kerja dalam PRK DUN Slim dan PRN Sabah dapat dimulakan secepat mungkin.

“Kita sedia bermuafakat dengan Pemuda UMNO dan Pas untuk memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) di Slim nanti,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini.

Pada pemilihan sayap pemuda Bersatu Sabtu lalu, Wan Ahmad Fayhsal mengenepikan cabaran tunggal, Mohd Muzzammil Ismail manakala jawatan Naib Ketua Armada dimenangi Ceasar Mandela Malakun.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, selain itu, tumpuan beliau juga pastinya bagi mengukuhkan semula barisan sayap pemuda parti Bersatu.

Beliau berkata, Armada juga akan menyumbang ke arah pengukuhan parti dan sebagai persediaan awal untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU).

Kata beliau, ini khususnya dalam mendapat sokongan dan memenuhi aspirasi anak muda, dan yakin sayap pemuda pimpinannya bersih, tiada ‘parasit’ dan setia kepada parti.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayshal berkata Armada akan mengadakan perbincangan dengan pimpinan muda sayap UMNO dan Pas berkenaan kerangka besar Muafakat Nasional.

“Dari segi umur, memang kami muda, semuanya berumur 35 tahun ke bawah. Kami mungkin baru jika dibandingkan sayap pemuda lain. Itu adalah cabaran utama kami dalam meyakinkan golongan dewasa dan lebih berumur bahawa Armada juga mampu membawa aspirasi politik tanah air,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menafikan kemenangannya dalam pemilihan Sabtu lalu ada kaitan dengan janji ‘surat sokongan’.

Sebaliknya, beliau berkata, kemenangannya dipengaruhi sikapnya yang sering menyantuni ahli akar umbi.

“Saya fikir kemenangan saya sebagai Ketua Armada bukan kerana video viral tetapi kerana saya menyantuni ahli parti di akar umbi,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.