Portal rasmi kumpul maklum balas Belanjawan 2021

87

17 OGOS: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melancarkan portal rasmi bagi mengumpulkan cadangan dan maklum balas Belanjawan 2021 semasa lawatan rasminya ke Johor kelmarin bersempena Jelajah Konsultasi Belanjawan 2021.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan media berkata, melalui laman sesawang http://belanjawan2021.treasury.gov.my, orang ramai boleh mengemukakan cadangan dan maklum balas masing-masing secara terus kepada kementerian itu bermula kelmarin sehingga 15 September 2020.

“Lawatan rasmi ke Johor kali ini merupakan sebahagian usaha kerajaan Persekutuan untuk mendekati pihak berkepentingan melalui sesi libat urus bagi mendapatkan maklum balas mengenai inisiatif pakej pemulihan ekonomi PRIHATIN dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) serta mengumpul cadangan awal dalam merangka Bajet 2021 yang bakal dibentangkan 6 November ini,” menurut kenyataan itu.

Dalam lawatan itu, Tengku Zafrul turut mengadakan sesi dialog bersama wakil sektor pendidikan dan farmaseutikal, usahawan wanita perusahaan kecil dan sederhana serta bertemu beberapa ibu tunggal yang menerima bantuan di bawah PENJANA.

Menurut Kementerian Kewangan, antara topik yang ketengahkan dalam sesi dialog bersama wakil sektor pendidikan di Educity Iskandar Malaysia adalah usaha mempromosi institusi pendidikan di Iskandar Malaysia sebagai destinasi pendidikan berkualiti dari peringkat sekolah hingga ke pengajian tinggi dan memperkasakan bidang teknikal dan vokasional.

Turut disentuh ialah memudahcara pengurusan kemasukan pelajar antarabangsa dalam era norma baharu dan meningkatkan pelaburan dalam sektor pendidikan.

Mengulas status ekonomi semasa, Tengku Zafrul berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2020, yang merekodkan penguncupan sebanyak 17.1 peratus adalah disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan COVID-19, yang telah mengekang aktiviti ekonomi pada tempoh tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, apabila dianalisa secara lebih mendalam, penguncupan KDNK jelas dilihat berkurangan dari April (-28.6 peratus) kepada Mei (-19.5 peratus) dan seterusnya penambahbaikan mendadak berbentuk-V bagi Jun (-3.2 peratus).

Ini jelas menunjukkan bahawa ekonomi mula pulih pada Mei apabila ekonomi dibuka semula secara berperingkat dan kadar jangkitan COVID-19 yang lebih terkawal.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.