Nelayan Vietnam disiasat cubaan bunuh

125

17 OGOS: Sekumpulan nelayan Vietnam yang bertindak menyerang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dekat perairan Tok Bali semalam akan disiasat di bawah kesalahan cubaan membunuh.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Mohd Zubil Mat Som

Katanya, pencerobohan bot nelayan asing pula akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 serta Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/1963.

“Berdasarkan Seksyen 7 (3) Akta APMM 2004 (Akta 633), Maritim Malaysia mempunyai kuasa penuh untuk menyiasat mana-mana kesalahan di bawah mana-mana Undang-Undang Persekutuan yang terpakai di Zon Maritim Malaysia.

“Dalam hal ini, kejadian tembakan berlaku dalam Zon Maritim Malaysia,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Seorang krew kapal nelayan Vietnam yang dikesan menceroboh perairan negara mati terkena tembakan selepas menyerang anggota Maritim Malaysia dalam kejadian malam tadi.

Sementara itu, menurut Mohd Zubil, siasatan telus akan dilakukan sewajarnya ke atas kejadian ini dan Maritim Malaysia akan terus melaksanakan penguatkuasaan undang-undang bagi mengawal perairan negara daripada dicerobohi oleh nelayan asing.

“Dalam kejadian ini, anggota penguat kuasa Maritim Malaysia terlebih dahulu telah mematuhi Rules Of Engagement penggunaan senjata api dengan melepaskan tembakan amaran tetapi tidak diendahkan oleh kru bot nelayan Vietnam terlibat.

“Mereka seterusnya menyerang dengan membaling molotov cocktail dan senjata keras seperti batang besi, bongkah kayu besar dan spanar ke atas bot Penyelamat 7 yang boleh mengancam nyawa penguat kuasa dan harta kerajaan.

“Selanjutnya, bot nelayan terbabit bertindak lebih agresif dengan merempuh Bot Penyelamat 7 menyebabkan kru bot Maritim Malaysia tiada pilihan dalam usaha mempertahankan diri, nyawa dan aset dengan melepaskan tembakan ke arah bot nelayan tersebut,” jelasnya.

Kata beliau, rempuhan bot nelayan Vietnam telah mengakibatkan bahagian hadapan kanan bot Penyelamat 7 remuk dan hasil siasatan awal mendapati terdapat beberapa senjata merbahaya yang dilemparkan telah mengenai badan dan tingkap cermin bot Penyelamat 7 telah pecah.

“Di atas bot nelayan Vietnam tersebut didapati beberapa senjata berbahaya disimpan bersama sejumlah bungkusan plastik bom molotov cocktail di dalam beberapa kotak penyimpanan ikan seolah-olah mereka telah membuat persediaan awal untuk melakukan tindakan ofensif apabila ditahan oleh agensi penguat kuasa Malaysia.

“Maritim Malaysia mengambil perhatian serius akan tindakan ganas dan melampau nelayan-nelayan Vietnam yang boleh memudaratkan nyawa penguatkuasa dan harta kerajaan Malaysia,” tegasnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.