Muhyiddin penyelamat, bukan pengkhianat

114

17 OGOS: Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin, menerima tawaran selaku Perdana Menteri selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dengan majoriti ahli Parlimen adalah satu perbuatan mulia, bukannya pengkhianatan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen BN Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata Muhyiddin dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak pernah melakukan pengkhianatan sehingga menyebabkan kerajaan PH jatuh, pada Mac lalu.

Sebaliknya, kata Shahidan, kerajaan PH jatuh kerana tindakan Ahli Parlimen Langkawi (Bebas) Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 secara tiba-tiba kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 24 Februari lalu.

“Pada perbahasan lepas YB Langkawi memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa beliau tidak berhenti menjadi Perdana Menteri kerana kerajaan PH sudah terbubar.

“Oleh itu saya ingin bertanya bahawa BERSATU sudah mengadakan mesyuarat pada 23 Feruari lalu antara jam 11 pagi hingga 3 petang  dan membuat keputusan BERSATU akan keluar daripada PH kerana bahayanya DAP dan Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menjadi Perdana Menteri seterusnya.

“Justeru, pada jam 4 petang hari sama, Perdana Menteri ketika itu (Dr Mahathir) memanggil semua Presiden Parti iaitu Presiden UMNO, BERSATU, PAS dan GPS untuk memaklumkan BERSATU akan keluar PH dan sebuah kerajaan perpaduan akan diwujudkan.

“Pada ketika itu Perdana Menteri sudah mendapat sokongan majoriti 131 Ahli Parlimen. Pada jam 5 petang kelima Presiden termasuk Timbalan Presiden PKR iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengadakan perjumpaan dengan Yang di-Pertuan Agong untuk memohon perkenaan baginda.

“Baginda kemudian bertanya semua parti sama ada mereka bersetuju menyokong Langkawi (Dr Mahathir) sebagai Perdana Menteri dengan sokongan 131 ahli parlimen lain,” katanya ketika mencelah dalam perbahasan usul Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 oleh Ahli Parlimen BN Gerik, Datuk Hasbullah Oslam di Parlimen sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Shahidan yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN BBC) berkata semua ahli Parlimen berkenaan kemudian dijemput menghadiri majlis makan malam di Hotel Sheraton, pada waktu malamnya.

“Pada waktu malam kami yang tidak tahu apa-apa dijemput ke Hotel Sheraton untuk makan malam tetapi ramai tidak tahu bahawa kami hanya makan dan tiada ucapan. Ramai mereka yang tidak hadir mendakwa ia adalah ‘langkah Sheraton’ walaupun kami tidak tahu apa-apa pun.

“Kami juga bertanya siapa yang anjur tetapi semua yang hadir mendakwa tidak tahu apa-apa. Pada keesokan harinya Presiden BERSATU dan Timbalan Presiden PKR bertemu Langkawi sekali lagi namun muka Dr Mahathir berubah dan tidak seperti semalam.

“Rupanya Langkawi sudah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk berhenti menjadi Perdana Menteri, selepas itu Al-Sultan Abdullah mengeluarkan kenyataan bahawa baginda sudah memujuk Dr Mahathir supaya tidak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, namun tidak diendahkan.

“Kita hairan kenapa Langkawi menerima pelantikan sebagai Perdana Menteri Interim walaupun ia dikatakan tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Berikutan itu, Shahidan menegaskan Ahli Parlimen Pagoh adalah Perdana Menteri yang sah dan penyelamat Malaysia daripada masalah penularan COVID-19 bukannya pengkhianat seperti didakwa sesetengah ahli Parlimen PH.

“Dia (Muhyiddin) adalah penyelamat Malaysia kerana dapat menangani masalah COVID-19 dan ekonomi negara dengan begitu baik sekali, manakala PH diterajui bersama oleh DAP gagal menyelesaikan masalah ekonomi negara,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.