Kebakaran pusat tahfiz, remaja bersalah membunuh

61

17 OGOS: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan seorang remaja lelaki ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong setelah didapati bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 2017.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman ke atas remaja itu yang kini berumur 19 tahun selepas mendapati dia gagal menimbulkan keraguan munasabah atas 23 pertuduhan dengan sengaja membunuh 23 individu tersebut.

Remaja itu berusia 16 tahun ketika kejadian, lapor Bernama.

“Selepas mendengar keterangan semua pihak, mahkamah mendapati penama pertama (remaja itu) dengan sengaja melakukan khianat tersebut dengan niat membunuh, ” kata Azman.

Hakim itu berkata oleh kerana remaja tersebut masih di bawah umur semasa kejadian, beliau telah mengguna pakai Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 dalam menjatuhkan hukuman tersebut.

“Terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan syarat-syarat tahanan dari semasa ke semasa,” katanya.

Azman ketika menjatuhkan hukuman itu turut mendoakan agar Allah SWT menempatkan roh mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di syurga.

“Saya doakan roh yang meninggal dunia dicucuri rahmat Allah SWT dan menjadi ahli syurga. Begitu juga ibu bapa mereka,” katanya.

Peguam Haijan Omar yang mewakili remaja itu dalam mitigasi berkata anak guamnya memohon maaf kepada semua yang terlibat dan berkata pihaknya akan menfailkan rayuan terhadap hukuman hari ini.

Pada 28 Januari 2020, Azman mengarahkan remaja itu membela diri atas pertuduhan membunuh selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Menurut pertuduhan yang dipinda, remaja itu bersama seseorang yang tidak dicamkan, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.

Seksyen 94 akta sama memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan ibu bapa atau penjaga dikenakan denda atau pampasan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.