Kabinet dijangka bincang RCI Tabung Haji Jumaat ini

94

17 OGOS: Mesyuarat Kabinet Jumaat ini dijangka mengadakan perbincangan lanjut mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, bagaimanapun berkata, ia bergantung sama ada isu itu dibangkitkan nanti dalam mesyuarat Kabinet.

“Insya-Allah, dalam mesyuarat Kabinet, mungkin kalau diangkat (isu cadangan RCI TH), kita akan bincangkanlah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah pelantikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini.

Dr Zulkifli berkata, pada masa sama, perbincangan lanjut juga akan diteruskan dengan laporan yang akan dikemukakan oleh Menteri Kewangan.

“Insya-Allah minggu ini juga akan dibincangkan (susulan perbincangan dengan Perdana Menteri) kalau tidak ada aral berkenaan dengan isu-isu terkait dengan TH,” katanya.

Dr Zulkifli sebelum ini memaklumkan gesaan pelbagai pihak supaya RCI ditubuhkan berhubung isu pengurusan TH akan diteliti lanjut pihaknya.

Gesaan itu antara lain dibangkitkan ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat.

Kata Dr Zulkifli, setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat sama ada berkaitan RCI atau isu TH yang lain.

“Yang penting kita mahu mengenali dan memahami suasana hakikat sebenar TH yang sedang berlaku dan bagaimana cara menanganinya dengan sebaik mungkin.

“Kita cuba meneliti dengan sebaik-baiknya supaya sebarang tindakan dibuat berasaskan kepada kenyataan, hujah, bukti serta penuh dengan berhemah,” katanya.

Pada 10 Ogos lalu, Zulkifli ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Rakyat memaklumkan kewajaran cadangan penubuhan RCI bagi isu TH akan dibincangkan dalam Kabinet dalam tempoh terdekat.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.