Jualan langsung naik banding tahun lalu

46

17 OGOS: Biarpun negara kini mengalami kelembapan ekonomi, namun kerajaan menjangkakan jumlah jualan tahunan sektor jualan langsung bagi tahun ini meningkat kepada RM20 billion, naik berbanding RM17.9 bilion pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata angka itu mampu dicapai memandangkan sehingga Julai lalu, sebanyak RM16.9 billion jumlah jualan sudah direkodkan.

“Jumlah jualan tahunan bagi industri jualan langsung pada 2017 adalah RM13.6 bilion, 2018 adalah RM15.9 bilion dan 2019 adalah RM17.9 bilion,” katanya menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengenai pembatalan lesen, beliau berkata sejak 2012 hingga tahun lalu, sebanyak 16 syarikat jualan langsung dikenakan tindakan itu.

Dalam pada itu, menjawab soalan lain, Rosol berkata, kementerian giat melaksana usaha menghapuskan monopoli atau kartel bagi industri yang boleh diliberalisasikan supaya wujudnya persaingan sihat yang membolehkan pengguna dapat membeli barangan dengan harga yang lebih kompetitif.

Katanya, program penyeragaman harga juga diperkenalkan bagi membolehkan rakyat di kawasan pedalaman dan terpencil menikmati harga barang keperluan asas yang sama dengan kawasan bandar.

“Sehingga kini 1,444 pegawai pemantau harga dari kementerian yang mana telah memeriksa sebanyak 13,026 premis di seluruh negara,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) yang bertanyakan langkah terperinci kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup rakyat.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.