Jenayah e-dagang tertinggi sepanjang PKP

55

17 OGOS: Jenayah e-dagang mencatatkan sebanyak 2,500 kes dengan nilai kerugian RM17 juta sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, sekali gus menjadikannya yang tertinggi semasa tempoh tersebut.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, kegiatan jenayah kedua tertinggi adalah pinjaman tidak wujud dengan melibatkan 1,582 kes melibatkan kerugian RM18 juta.

“Macau scam melibatkan 1,001 kes yang mencatatkan kerugian RM50 juta. Love Scam pula melibatkan 481 kes membabitkan kerugian RM18 juta dan yang terakhir tipu SMS sebanyak 91 kes melibatkan kerugian RM800,000,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen BN Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung jumlah kes sindiket penipuan kewangan yang bergerak aktif pada fasa PKP yang lalu.

Ismail Mohamad Said

Bagi menjawab soalan tambahan Abdul Azeez yang menyatakan jika kerajaan telah mewujudkan pasukan khas bagi membanteras jenayah penipuan kewangan daripada berleluasa, Ismail tidak menafikan perkara tersebut yang menyatakan pelbagai kerjasama dengan kementerian dan agensi telah pun dimeterai bagi membanteras jenayah tersebut.

“Kita telah wujudkan pasukan bertindak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan Cyber Security Malaysia di samping bank-bank terlibat dan syarikat telekomunikasi dan sentiasa berhubung dan memang menjadi masalah PDRM untuk tangani jenayah dalam talian.

“Ini kerana melibatkan identiti pemanggil tak dapat dikenal pasti di samping pemanggil guna akaun telefon orang lain dan beroperasi di luar negara dan kita perlu bekerjasama dengan negara luar dan juga Interpol,” katanya.

Sementara itu, menjawab pertanyaan Ahli Parlimen PH Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang meminta jaminan kerajaan terhadap nombor telefon yang ditulis sebelum memasuki premis tidak digunakan oleh penipu, Ismail memberi jaminan bahawa tindakan akan diambil oleh pihak polis.

“Kita akan ambil tindakan jika perlu dan kita juga beri jaminan bahawa aplikasi MySejahtera dilindungi di bawah Akta Data Peribadi dan tidak sewenang-wenangnya untuk dedahkan maklumat di MySejahtera yang digunakan polis dan Kementerian Kesihatan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.