Jangan tular gambar kertas undi pos

172

17 OGOS: Pengundi pos Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim boleh dikenakan tindakan undang-undang jika didapati merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya dalam media sosial.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 78 kertas undi pos bagi PRK DUN Slim semalam.

“Daripada jumlah itu 75 untuk petugas pilihan raya dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua untuk pengundi tidak hadir luar negara manakala satu kepada warganegara Malaysia di luar negara.

“Proses pengeluaran kertas undi pada jam 2.30 petang di Pejabat Daerah dan Tanah Muallim, Slim River turut dihadiri wakil calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dan calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum didaftarkan.

“Sebanyak 68 sampul keutamaan diserahkan kepada pihak Pos Malaysia untuk dihantar kepada para pemohon manakala 10 sampul keutamaan diambil oleh Pegawai Yang Bertanggungjawab PDRM untuk diserahkan kepada anggota terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Ikmalrudin turut mengingatkan semua pengundi pos supaya segera mengembalikan borang yang telah lengkap diisi kepada pegawai pengurus PRK DUN Slim sebelum jam 5 petang pada hari mengundi iaitu 29 Ogos ini. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.