Halal bukan hanya sijil tapi industri besar

94

17 OGOS: Kerajaan melihat industri halal memiliki potensi amat besar untuk diperkasakan lagi jika Malaysia mempunyai strategi lebih terancang dan inklusif.

Berikutan itu tidak hairanlah jika kerajaan mengambil keputusan drastik untuk memindahkan Perbadanan Pembangunan Industri Halal Malaysia (HDC) yang sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menteri Kanan MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata tindakan itu perlu kerana kerajaan tidak mahu HDC bukan hanya menumpukan kepada soal pensijilan halal semata-mata tetapi halal sebagai industri yang mempunyai potensi pertubuhan yang cukup besar.

Mohamed Azmin berkata sebagai contoh eksport industri halal sekarang ialah bernilai RM40.2 bilion iaitu hanya 4.1 peratus daripada nilai eksport negara secara keseluruhannya bernilai RM986.4 bilion pada 2019.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen BERSATU Gombak itu berkata ini bermakna potensi industri halal masih mempunyai ruang cukup besar untuk dibangunkan dan diekplotasi sepenuhnya.

“Bagi tahun 2019, sebanyak 1,876 syarikat pengeksport Malaysia sudah direkodkan, bagaimanapun 1,430 syarikat atau lebih 76.2 peratus adalah terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Saya juga ingin memaklumkan kepada dewan yang mulia ini bahawa nilai pasaran halal global kini dianggarkan bernilai AS$3 trilion dan berkembang lebih pesat kepada AS$7.7 trilion menjelang 2030.

“Justeru, saya bersetuju dengan pandangan YB Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim) bahawa kita memerlukan satu pendekatan baharu untuk menangani potensi besar ini,” ketika sesi perbahasan peringkat jawatan kuasa bagi membincangkan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan semula peruntukan perbelanjaan) 2020.

Berikutan itu Mohamed Azmi berkata MITI melihat sebagai contoh Australia adalah negara pengeksport terbesar daging halal utama di dunia dengan negara pengimport terbesar ialah Indonesia, Arab Saudi dan Emeriah Arab Bersatu (UAE).

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata negara seperti Jepun juga memberikan tumpuan untuk mengeksport produk halal keluaran industrinya ke negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC).

“Kalau kita tinjau apa yang ditawarkan negara Jepun adalah dengan menawarkan subsidi kepada restoran dalam bentuk bayaran semula sehingga 50 peratus bagi kos pensijilan halal,” katanya.

Dalam pada itu Mohamed Azmin berkata Majlis Halal Malaysia kini dijenamakan semula sebagai Majlis Industri Halal Malaysia dan diurusetiakan oleh MITI menerusi HDC bagi memperkasakan industri halal ke arah menjadikan Malaysia sebagai Hub Halal Global.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.