DUN Sabah: Boleh bicara atau tidak diketahui 21 Ogos

138

17 OGOS: Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu akan memutuskan 21 Ogos sama ada keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lalu, boleh diadili atau tidak.

Perkara itu dimaklumkan Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim dalam prosiding sebentar dari.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan 32 lagi ADUN sebelum ini memohon kebenaran mahkamah untuk semakan kehakiman.

Dalam prosiding hari ini, 33 ADUN itu diwakili peguam Tengku Ahmad Fuad manakala Peguam Besar Negeri Sabah, Brenndon Keith Soh mewakili Yang Dipertua Negeri, Ketua Menteri dan kerajaan negeri.

Permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman itu difailkan Musa dan 32 yang lain bagi menentukan sama ada Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, sebagai responden pertama, telah bertindak mengikut undang-undang semasa membubarkan DUN atas nasihat Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, responden kedua.

Permohonan itu juga menamakan Suruhanjaya Pilihan Raya dan kerajaan negeri Sabah sebagai responden ketiga dan keempat masing-masing.

Sebelum ini, Tengku Fuad menjelaskan hujahan yang dikemukakan di hadapan Shim ialah Tun Juhar tidak dinasihati secara betul oleh Mohd Shafie dalam menggunakan kuasanya untuk membubarkan DUN di bawah perlembagaan negeri.

Pada 30 Julai, Mohd Shafie mengumumkan yang beliau menerima kebenaran Tun Juhar untuk membubarkan DUN berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri dalam tempoh 60 hari.

Ketua menteri itu mendapatkan kebenaran membubarkan DUN selepas Musa, pada sidang media, mengumumkan yang beliau mendapat sokongan 33 ADUN untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

DUN yang dibubarkan itu mempunyai 65 ADUN.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.