Azmin dijangka dilantik Ketua Penerangan Bersatu

365

17 OGOS: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijangka dilantik Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas menyertai parti itu, minggu ini.

Pengumuman pelantikan akan dibuat selepas pemilihan pimpinan tertinggi Bersatu yang akan berakhir pada Sabtu.

Mohamed Azmin, bekas Timbalan Presiden PKR meninggalkan parti itu bersama sekumpulan sembilan ahli parlimen dan mengisytiharkan sokongan kepada Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika krisis Perdana Menteri awal tahun lalu.

Sumber memberitahu PN BBC portal, penyertaan kumpulan Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berikutan permohonan Bersatu menyertai Muafakat Nasional (BN) bersama UMNO dan PAS.   

“Azmin akan dilantik Ketua Penerangan (Bersatu). (Ahli parlimen) lain, saya tidak pasti kerana pemilihan jawatan utama Bersatu sedang berlangsung dan ramai bertanding,” kata sumber tersebut.

Untuk rekod Ketua Penerangan Bersatu sekarang adalah Dr Mohd Radzi Jidin yang juga Menteri Kanan Pendidikan. Beliau bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan Bersatu ketika ini.

Difahamkan, penyertaan Azmin dan kumpulannya dalam Bersatu bagi membolehkan rundingan dan persiapan MN sekiranya pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.

Minggu lalu, Muhyiddin berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah bersetuju untuk menyertai MN yang mendokong Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan besar atau the grand coalition.

Sabtu lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang juga bekas Naib Presiden PKR memaklumkan Azmin dan kumpulan bekas ahli parlimen yang keluar parti akan menyertai Bersatu.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata,satu majlis akan diadakan bagi tujuan formaliti penyertaan kumpulan yang menyokong Mohamed Azmin dalam parti Bersatu.

 “Ini cuma formaliti yang belum dibuat oleh kami. Pada 22 Ogos akan ada majlis besar untuk umumkan penyertaan kami dalam Bersatu,” katanya di Lembah Subang, sebelum ini.

Jelasnya, mereka menunggu sehingga Bersatu menyelesaikan Pemilihan dan Perhimpunan Agung parti terlebih dahulu sebelum menyertai parti itu.

Sebelum ini, 10 Ahli Parlimen yang meninggalkan PKR diketuai Mohamed Azmin telah mengisytihar menyokong Bersatu.

Selain Mohamed Azmin  turut serta Zuraida, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon; Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju dan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin.

Seorang lagi, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar dilaporkan menjadi ahli bersekutu parti itu.

Dengan penyertaan kumpulan Mohamed Azmin, Bersatu akan mempunyai 30 ahli parlimen.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.