286 individu ditahan ingkar arahan PKP

20

17 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 286 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, seramai 44 orang telah direman manakala dua lagi individu dijamin dan 242 individu dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (34), premis beroperasi lebih masa (4), tidak memakai pelitup muka (35), serta aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (213),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Berhubung Operasi Benteng semalam, beliau memberitahu, PDRM telah mengadakan 53 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 19,355 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus dan tiada sebarang tangkapan dilakukan.

Sementara itu, beliau memberitahu, sejak 24 Julai sehingga 16 Ogos 2020, seramai 12,063 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 58 hotel dan lima institut latihan awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis, Labuan dan Kedah.

“Daripada jumlah itu, seramai 43 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 4,886 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, mereka telah pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, New Zealand, Amerika Syarikat dan Australia.

Secara keseluruhan, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

Semalam, pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 1,160 pemeriksaan khas Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sebanyak 1,157 premis didapati mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 3 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP dan tiga premis pula diberi amaran kerana tidak patuh SOP. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.