Zaidi tak ambil mudah saingan calon Bebas

64

16 OGOS: Biarpun di atas kertas kelebihan berpihak kepadanya untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini, namun calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz, tidak mengambil sikap ambil mudah dan terlalu selesa berdepan dengan dua calon Bebas.

Mohd Zaidi yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim menegaskan apa yang penting sekarang, adalah beliau perlu bekerja keras jika mahu melihat BN mahu meraih kemenangan besar pada PRK kali ini.

“Kita perlu sentiasa bersiap sedia berdepan dua calon bebas, kita tak pandang mudah selesa kerana dalam apa juga pertandingan, kita perlu menang. Yang pasti kita mahukan kemenangan besar dalam PRK kali ini,” katanya selepas menghadiri majlis Santai Melukis Mural yang turut dihadiri oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pasar Slim River, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Zaidi memberitahu, beliau memilih untuk berkempen secara bersemuka dengan pengundi berbanding mengadakan ceramah atau program.

Jelas beliau, ini kerana selain dapat beramah mesra dengan pengundi, ia juga dapat mengelak keadaan bersesak di sesuatu acara atau ceramah bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Dengan melakukan kempen secara bersemuka ini, saya dapat lebih mesra dengan pengundi dengan mendengar pelbagai keluhan dan pandangan daripada mereka serta menjaga prosedur operasi standard (SOP), tidaklah berhimpit dan bersesak berbanding mengadakan ceramah atau program di dalam dewan,” katanya selepas bertemu masyarakat India di sekitar Slim River.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan sepanjang tempoh berkempen yang bermula semalam, setiap calon perlu mematuhi peraturan termasuk penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, saringan suhu badan, penggunaan pensanitasi tangan, selain mengehadkan kehadiran tidak melebihi 250 orang bagi aktiviti ceramah.

Mohd Zaidi menambah, beliau juga akan menggunakan media sosial seperti Facebook untuk berkempen.

Tambahnya, beliau akan cuba bertemu dengan seramai mungkin pengundi di DUN Slim, selain menemui jentera parti di kesemua 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi memberikan kata-kata semangat dan perangsang untuk mereka melaksanakan kempen mempertahankan kerusi DUN berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.