Tumpu 4 komoditi utama di Kelantan

130

16 OGOS: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersetuju untuk memberi tumpuan kepada empat komoditi utama di Kelantan iaitu karas, buluh, koko dan lada bagi memajukan ekonomi negeri seterusnya negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, sehubungan itu, pihaknya bersedia untuk berbincang dengan lebih terperinci seperti memfokuskan kepada penanaman karas berkaitan penyediaan kaedah inokulasi bagi memastikan pokok itu menghasilkan gaharu yang berkualiti tinggi.

Menurut beliau, kementeriannya bercadang menawarkan geran bahan inokulasi mulai tahun hadapan dan kerajaan negeri boleh menyediakan dana untuk proses tanaman semula menggunakan benih yang dibekalkan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) untuk tujuan terbabit.

“Bagi prospek buluh pula, cadangan Bandar Baru Dabong sebagai lokasi Hab Buluh Negara kita amat alu-alukan dan kementerian sedia memberikan bantuan kerana buluh ini mesti ditanam secara perladangan untuk memastikan bekalan yang konsisten.

“Kelantan boleh ambil peluang ini kerana industri buluh, pasaran antarabangsanya bernilai AS$65 bilion (RM273 bilion),” katanya dalam pertemuan bersama delegasi kerajaan negeri Kelantan yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail di bangunan Parlimen, baru-baru ini.

Selain itu, Mohd. Khairuddin berkata, kementerian juga berhasrat melanjutkan perbincangan secara lebih terperinci dengan kerajaan negeri untuk mengembangkan tanaman koko dan lada di negeri berkenaan.

Bagi tanaman koko, beliau sendiri amat berminat dengan industri penghasilan coklat yang merupakan sektor hiliran komoditi itu berikutan prospeknya yang amat baik selain memberikan peluang kepada usahawan tempatan kecil dan sederhana memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa.

“Ia memang menjadi fokus saya untuk menjadikan Malaysia ini ‘Raja Coklat Asia’, dan untuk itu kita akan isytihar Langkawi sebagai Hab Coklat Malaysia,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.