Tidak perlu PKPD Pentadbiran seluruh Kedah

40

16 OGOS: Kerajaan negeri Kedah belum bercadang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di seluruh negeri, sebaliknya hanya dilaksana di kawasan di Kedah yang sudah dikenal pasti terjejas COVID-19 sahaja.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelaksanaan PKPD Secara Pentadbiran di seluruh Kedah akan menjejaskan ekonomi negeri yang boleh menyebabkan kerajaan negeri kerugian berbilion ringgit.

Muhammad Sanusi, berkata keputusan itu akan diusulkan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri COVID-19 di antara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan beberapa agensi lain.

“Saya akan minta Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Fikri Ujang memberi penerangan situasi COVID-19 di Kedah malam ini.

“Kita akan syorkan beberapa cadangan termasuk cadangan PKPD dilaksana di daerah bersasar mengikut jumlah kes.

“Setakat ini kawasan di Kubang Pasu dan Padang Terap sudah melaksanakan PKPD dan kita tak ada kuasa melaksanakannya kerana keputusan itu hanya boleh dibuat MKN dan diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri,” katanya di Alor Setar, hari ini.

Sehingga kini, Kedah mencatatkan empat kluster COVID-19 iaitu Kluster Sivagangga, Kluster Tawar, Kluster Muda dan Kluster Sala membabitkan daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kulim, Baling, Kuala Muda dan Yan.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi menasihatkan penduduk di kawasan kluster terbabit menangguhkan majlis kenduri, keramaian dan sebarang perhimpunan bagi mengekang penularan wabak.

Katanya, rakyat turut diingatkan tidak menyebarkan berita palsu yang boleh mencetuskan panik kepada masyarakat.

“Saya faham rakyat dalam keadaan bimbang, saya minta semua orang patuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan bantuan makanan mencukupi sekiranya PKPD dilaksanakan di kawasan lain yang mempunyai kluster.

“Arahan mengenai penutupan sekolah pula hanya akan diputuskan MKN. Harap rakyat dapat bersabar dan menunggu pengumuman daripada MKN,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.