Parti Pejuang buat mesyuarat di rumah sajalah

705

16 OGOS: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menempelak penubuhan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang baharu ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad supaya mengadakan mesyuarat di rumah sahaja.

Bekas Presiden UMNO itu berkata, ini kerana parti yang dikenali Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dikuasai oleh Dr Mahathir sebagai Pengerusi dan anaknya Datuk Seri Mukhriz sebagai Presiden.

Berikutan itu Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menegaskan perjuangan dalam parti sebenarnya bukan untuk anak dan keluarga mana-mana pemimpin.

“Sebelum ini dicalonkan anaknya sebagai Timbalan Perdana Menteri, Bobo (Mukhriz). Tergamak beliau, maknanya parti siapa ini.

“Bapa chairman (pengerusi), anak presiden. Mesyuarat di rumah sahajalah. Perjuangan kita bukan untuk anak dan keluarga,” katanya ketika berucap pada pada majlis memperkenalkan calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Zaidi Aziz di Dewan Semai Bakti Trolak Selatan, malam tadi.

Mengulas lanjut, Najib berkata, selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini bulan lalu, Mahathir terus meletak seorang lagi bukan calon tempatan di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.

Namun yang menimbulkan persoalan kata bekas Pengerusi BN, apa perlu parti baharu yang ditubuhkan oleh Mahathir itu yang juga bekas Pengerusi Bersatu.

“Apa perlunya parti politik baharu orang Melayu sebab ‘Atok’ (Mahathir)  kata masalah orang Melayu kerana banyak parti politik,  dia sendiri cakap apa gunanya, ramai nak jadi presiden.

“Jadi akhirnya dia pula buat, kata orang cakap tidak serupa bikin dan dia tubuh parti baharu, timbul lagi parti yangg boleh juga pecah belah orang Melayu

“Kita sudah ada UMNO iaitu parti terbesar Melayu, Pas parti kedua dan gabung dalam Muafakat Nasional (MN) dan parti bunga (Bersatu) tengah risik tunggu dulu dan kita apa keputusannya,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.