Nilai pengeluaran hasil sawit Johor RM5.8 bilion

314

16 OGOS: Johor mencatatkan nilai pengeluaran hasil sawit sebanyak RM5.829 bilion dengan purata hasil buah tandan segar sebanyak 19.41 tan per hektar pada 2019.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, selain itu, prestasi kadar perahan minyak (OER) bagi negeri ini pada 2019 meningkat kepada 20.22 peratus berbanding 19.69 peratus pada tahun sebelumnya.

“Sehingga 30 Jun 2020, OER adalah 19.74 peratus berbanding dengan 20.13 peratus bagi tempoh yang sama pada tahun 2019,” jelasnya dalam kenyataan media berhubung lawatan kerjanya ke kilang milik syarikat Keck Seng (M) Bhd di Masai, Johor, semalam.

Beliau menambah, terdapat 63 buah kilang memproses buah kelapa sawit terdiri daripada 15 kilang milik Felda, 28 kilang milik agensi dan syarikat korporat manakala selebihnya 20 buah kilang adalah milik syarikat swasta di negeri ini.

Ahli Parlimen Tanjung Piai itu memberitahu, kapasiti pemprosesan buah sawit yang dilesenkan adalah 17.25 juta metrik tan setahun selain terdapat juga 17 kilang penapis minyak sawit dan 13 kilang isi rung sawit di seluruh Johor.

“Industri sawit di negeri selatan Semenanjung ini juga terus menyumbang kepada peningkatan eksport produk sawit negara.

“Bagi Julai tahun ini, eksport minyak sawit berkembang sebanyak 4.2 peratus berbanding Jun 2020. Peningkatan ini dipacu oleh permintaan dari India dan Kesatuan Eropah,” jelasnya.

Beliau berkata, eksport biodiesel melonjak 143.26 peratus pada Julai berbanding bulan sebelumnya manakala eksport minyak isi rung sawit naik 4.07 peratus bagi Julai tahun ini berbanding bulan sebelumnya.

Jeck Seng menyatakan, kerajaan menghargai penglibatan para pengusaha industri sawit seperti Keck Seng yang membantu meningkatkan eksport produk sawit Malaysia.

“Ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan supaya industri sawit negara memberi fokus kepada sektor hiliran dalam menghasilkan produk sawit bernilai tambah yang tinggi dan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan pengusaha sawit serta negara secara amnya,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.