Boleh rayu kurang kompaun tak pakai pelitup muka

475

16 OGOS: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menegaskan tiada keperluan untuk mengurangkan kadar kompaun RM1,000 bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka kerana ia boleh dikurangkan melalui budi bicara.

Ahli Parlimen Bera itu berkata setiap denda dan hukuman yang dikenakan tidak kira mengikut akta mana sekali pun masih boleh membuat rayuan.

“Setiap denda ini tidak kiralah dalam mahkamah dan sebagainya, cuma meletakkan denda maksimum, mereka (orang yang didenda) masih lagi boleh merayu untuk mendapatkan pengurangan.

“Dalam mahkamah hakim mempunyai budi bicara untuk mengurangkan hukuman begitu juga dengan kompaun RM1,000 yang dikenakan. Mereka (orang yang didenda) boleh merayu untuk mendapatkan pengurangan,” katanya selepas program santai melukis mural di Pasar Slim River Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Slim, hari ini.

Justeru katanya, untuk meminda akta itu juga memerlukan masa dan perlu dibawa ke sidang Dewan Rakyat.

“Saya rasa tidak perlu kita meminda akta berkenaan kerana ia memerlukan masa sedangkan kes (COVID-19) sedang berlaku dan tindakan perlu dilakukan.

“Kalau mahu meminda ia akan mengambil masa, berapa lama kita mahu tunggu, jadi kita teruskan apa yang sudah ada,” katanya.

Pada Khamis lalu, media melaporkan Ahli Parlimen pembangkang mencadangkan di Dewan Rakyat supaya denda RM1,000 kesalahan ingkar tidak memakai pelitup muka diturunkan kepada RM250 dan dinaikkan setiap kali kesalahan dilakukan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.