“Tiada sebab khianat parti yang saya sendiri tubuh”

208

15 OGOS: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tidak ada sebab untuknya mengkhianati parti yang beliau sendiri tubuhkan.

Dalam perutusan khasnya sempena Persidangan Tahunan BERSATU, Muhyiddin menyeru ahli-ahli parti supaya meyakini apa yang berlaku pasti ada hikmahnya dan pada masa sama ingatlah yang manusia sekadar merancang, tetapi Tuhan lah yang menentukan.

“Saya sendiri pun melalui fasa jatuh dan bangun dalam politik. Ada kalanya saya di atas. Ada kalanya saya di bawah. Itu adalah sebahagian daripada asam garam kehidupan saya yang mesti saya terima seadanya.

“Kali ini Allah SWT memberikan kepada saya satu amanah besar untuk memimpin parti dan kerajaan. Pengalaman mengajar saya bahawa kedudukan, pangkat dan kuasa adalah sementara.

“Ia bukanlah kurniaan untuk kita bermegah-megah. Ia juga bukan hak untuk kita miliki selama-lamanya. Tetapi kuasa pemerintahan adalah satu amanah berat untuk kita pikul,” kata Perdana Menteri menerusi perutusan tersebut yang disiarkan di akaun Facebook beliau.

Dalam menyentuh soal tersebut, Muhyiddin telah merujuk firman Allah yang bermaksud:

‘Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.

“Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Sementara itu, berhubung perkembangan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak lagi bersama Bersatu, Muhyiddin menyeru ahli-ahli meneruskan perjuangan parti dalam apa jua keadaan kerana pemimpin tetap datang dan pergi.

“Dahulu Tun Mahathir bersama-sama dengan kita. Saya tak boleh nafikan sejarah sumbangan Tun Mahathir kepada parti kita. Saya hormat kepada beliau sebagai bekas pemimpin parti. Orang-orang yang dekat dengan saya pasti tahu betapa hormatnya saya kepada Tun Mahathir.

“Saya dan kita semua pastinya berasa sedih kerana beliau tidak lagi bersama-sama kita. Tak mengapalah. Beliau memilih haluannya sendiri. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” jelasnya.

Dalam perutusan itu, Muhyiddin turut mengimbau jerih-payah penubuhan Bersatu empat tahun lalu bagaimana penggerak awal parti berjaya memenangkan Bersatu menerusi keberanian dan kecekalan biar pun kebanyakannya bukan nama besar dalam politik.

“Tidaklah berlebihan jika saya katakan parti kita ini pada awalnya digerakkan oleh orang-orang kecil yang berjiwa besar! Small men, brave hearts! Orang-orang kecil inilah yang bergolok-bergadai dan berjuang bermati-matian untuk menubuhkan cawangan dan bahagian dan memenangkan parti dalam pilihanraya. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada anda semua.

“Ada dalam kalangan saudara-saudari yang hadir dalam persidangan kali ini menyertai BERSATU selepas pilihan raya. Sumbangan anda juga besar. Anda berperanan menambah sokongan kepada BERSATU. Dengan penyertaan anda semua, BERSATU menjadi sebuah parti yang lebih kukuh dan kuat,” tegasnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin mengingatkan mereka yang kalah dalam pemilihan Bersatu dan tidak memegang apa-apa jawatan supaya jangan kecewa dan merajuk sebaliknya teruslah istiqamah dalam perjuangan.

Katanya, dalam perjuangan politik, jatuh bangun itu adalah perkara biasa, oleh itu buktikan keikhlasan dalam berjuang dan insya-Allah saudara-saudari akan berpeluang untuk terus berbakti kepada parti, bangsa dan negara.

“Kita mesti jalan terus. We must move on. Jangan kita berpaling ke belakang. Teruslah mara ke hadapan. Apa yang ada di hadapan kita mesti kita hadapi dengan tabah. Bulan September ini genaplah usia parti kita empat tahun. Parti kita masih baharu. Walaupun begitu, BERSATU telah menjadi sebuah parti yang penting dan berpengaruh dalam persada politik tanah air.

“Kita merupakan sebuah parti yang utama dalam kerajaan baik di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri. Ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan kita.

“​Dalam tempoh empat tahun ini, jumlah keahlian parti kita telah mencecah lebih 420,000 orang di seluruh negara. Kita juga telah menubuhkan 197 Bahagian dan 2,950 Cawangan yang berdaftar. Ini adalah satu pencapaian yang memberangsangkan dalam tempoh yang singkat,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.