Kerajaan lantik wakil belia di Dewan Negara

69

15 OGOS: Kerajaan bersetuju untuk melantik wakil belia sebagai Ahli Dewan Negara untuk memastikan suara anak muda memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu membolehkan pandangan anak muda sentiasa diberi perhatian dan diambil kira dalam setiap proses keputusan kerajaan di semua peringkat.

Katanya, langkah ini juga membuktikan kerajaan mengiktiraf peranan pertubuhan belia dalam pembangunan golongan itu di pelbagai peringkat di negara ini.

“Saya bertemu dengan pemimpin Majlis Belia Malaysia (MBM) baru-baru ini dan perbincangan yang diadakan jelas menampakkan persefahaman yang wujud antara pucuk pimpinan belia dan kerajaan dalam usaha memperkukuh landasan pembangunan golongan belia di negara kita.

“MBM juga mencadangkan supaya kerajaan membentuk kumpulan khas penasihat anak muda yang menasihati saya apa yang perlu dilakukan untuk anak muda.

“Saya bersetuju dengan cadangan itu dan insya-Allah ia akan dilaksanakan. Untuk menentukan anak muda sampai ke peringkat tertinggi dalam sistem demokrasi berparlimen, saya umumkan pelantikan seorang wakil belia dalam Parlimen Malaysia di Dewan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2020, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di Johor Bahru hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Presiden MBM, Jufitri Joha.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.