BERSATU sertai Muafakat Nasional – Muhyiddin

321

15 OGOS: Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) telah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional yang mendokong Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan besar atau the grand coalition.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penyertaan parti itu dalam satu jemaah besar menerusi Muafakat Nasional akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Saya percaya inilah pilihan terbaik untuk BERSATU. Kita memilih untuk berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara kita.

“Dengan terbentuknya penyatuan antara BERSATU, UMNO, Pas dan parti-parti lain dalam kerajaan PN, sebahagian besar sokongan rakyat telah pun berada di pihak kita,” kata Perdana Menteri dalam perutusan khas sempena Persidangan Srikandi, ARMADA, dan Bahagian BERSATU 2020.

Dalam perutusan menerusi rakaman video yang disiarkan menerusi Facebook Perdana Menteri itu, Muhyiddin yang juga Pemangku Pengerusi Bersatu berkata, insya-Allah, penyatuan dalam jemaah besar ini akan mewujudkan kestabilan politik negara.

Kata Perdana Menteri, ini pastinya memberikan limpahan nikmat keamanan, keharmonian dan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Istiqamahlah dalam perjuangan kita. Yakinlah dengan pendirian parti. Rapatkan saf, betulkan niat dan bangkitlah saudara-saudari dengan semangat waja.

“Maralah ke hadapan menjulang obor perjuangan parti kita. Mudah-mudahan Allah SWT merahmati segala pengorbanan dan perjuangan kita,” jelasnya.

Tambah Perdana Menteri, untuk bergerak ke hadapan, sudah pastilah Bersatu perlu menambah jumlah keahlian dan cawangan. Ini pastinya akan memperkukuhkan lagi parti kita. Jadikan penambahan ahli dan cawangan sebagai KPI setiap Bahagian.

Katanya, ​selain itu, hubungan dengan parti-parti rakan dalam Muafakat Nasional dan PN di peringkat akar umbi juga perlu dipupuk dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

“Saya tahu proses ini mungkin mengambil sedikit masa. Tetapi saya yakin kita akan dapat mewujudkan hubungan kerjasama yang baik dan kukuh dengan parti-parti rakan.

“​Di peringkat pusat, saya sering mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan parti UMNO, Pas, MCA, MIC, GPS, PBS, STAR dan PBRS yang membentuk kerajaan PN.

“Beberapa persetujuan utama telah dicapai dalam pertemuan-pertemuan ini yang saya percaya akan memperkukuhkan lagi kedudukan BERSATU dan parti-parti rakan yang lain dalam Perikatan Nasional,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.