23 kes tempatan, 14 dilapor di Kedah

248

15 OGOS: Sebanyak 23 jangkitan tempatan COVID-19 dilaporkan hari ini dengan Kedah sahaja mencatatkan 14 kes melibatkan satu lagi kluster baru di daerah Yan.

Kluster Tawar bagaimanapun terus mencatatkan jangkitan yang tinggi dengan 12 kes hari ini termasuk dua di Pulau Pinang manakala satu kes pula dilaporkan dari kluster Muda.

Kluster terbaru, kluster Sala pula mencatatkan tiga kes manakala kes tempatan lain dilaporkan di Kuala Lumpur dengan tiga kes, Negeri Sembilan (dua) dan Johor serta Perlis masing-masing satu kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dua kes di Negeri Sembilan melibatkan saringan tahan imigresen manakala di Kuala Lumpur terdapat dua kes saringan kerja dan satu lagi saringan kontak rapat.

Katanya, di Johor dan Perlis pula membabitkan saringan pra pembedahan dan keseluruhannya terdapat 26 kes positif COVID-19 dilaporkan hari ini termasuk tiga kes import.

“Tiga kes import berkenaan melibatkan kepulangan dari Vietnam, Austria dan Amerika Syarikat.

“Jumlah kes kematian kekal 125 manakala kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) kini sebanyak enam orang dengan seorang memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Tiga lagi kes pula dilaporkan sembuh dan ini menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 219,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, menjelaskan perkembangan kluster Sala, Noor Hisham berkata, empat kes dilaporkan daripada kluster bekenaan yang kesemuanya melibatkan kontak serumah terdiri daripada anggota keluarga datuk, nenek, anak dan cucu.

Katanya, kes pertama kluster ini (iaitu kes ke-9148) adalah lelaki warganegara Malaysia yang dikesan positif pada 13 Ogos 2020 melalui sistem survelan klinikal Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

“Aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan pada 14 Ogos 2020 dan kes-kes dikesan positif pada 15 Ogo. Ketiga-tiga kes yang dilaporkan pada hari ini adalah merupakan ahli keluarga kepada kes pertama (kes ke-9148).

‘Sehingga 15 Ogos, 80 kontak rapat beliau telah disaring. Daripada jumlah ini: 4 kes dikesan positif COVID-19 manakala 76 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Mengenai kluster Tawar yang melaporkan 10 kes di Kedah dan dua kes di Pulau Pinang hari ini, Noor Hisham berkata, jumlah kes dikesan positif COVID-19 bagi kluster ini adalah sebanyak 33 kes.

Katanya, sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai 657 individu termasuk di Perak telah disaring dalam kluster ini dengan 33 masih menunggu keputusan.

“Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kluster ini dan situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Tambah beliau, satu lagi kluster iaitu kluster Muda mencatatkan tiga kes setakat hari ini dan seramai 133 individu telah disaring dalam kluster ini.

“Daripada jumlah ini, sebanyak tiga kes dikesan positif COVID-19, 27 individu adalah negatif dan baki 103 individu masih menunggu keputusan,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.