PDRM tunggu pengesahan penahanan Abu Jihad

169

14 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa Filipina berhubung penahanan pemimpin Abu Sayyaf, Idang Susukan atau Abu Jihad yang turut dikehendaki di Malaysia berhubung kes penculikan di Sabah, beberapa tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata beliau mengucapkan tahniah kepada pihak berkuasa Filipina kerana berjaya menahan Abu Jihad yang sangat dikehendaki di Malaysia.

“Berita yang sangat menarik perhatian kami kerana Idang Susukan memang sangat dikehendakki di Malaysia. Ucapan tahniah saya kepada pihak berkuasa Filipina dan saya berharap dengan penangkapan ini banyak kes keganasan lampau dapat dirungkai.

“Di waktu yang sama saya berharap pihak berkuasa di sana (Filipina) dapat berkongsi maklumat lanjut yang bakal diperolehi daripada Idang,” katanya ketika dihubungi wartawan PN BBC Portal di sini sebentar tadi.

Sebelum ini, media melaporkan pihak berkuasa Filipina menangkap ketua pemimpin Abu Sayyaf, Idang Susukan @ Abu Jihad yang juga dikehendaki di Malaysia berhubung penculikan di Sabah.

The Philippine Star memetik Ketua Polis Filipina, Archie Gamboa mengesahkan bahawa penangkapan itu dibuat petang semalam.

“Pemimpin pemberontak itu diserahkan oleh pengasas Barisan Hadapan Pembebasan Moro (MNLF), Nur Misuari kepada pihak berkuasa di bandar Davao,” lapor akhbar itu di Twitter malam tadi.

Dikatakan Idang ditangkap di rumah Nur Misuari di bandar Davao sebelum diserahkan kepada polis.

Kumpulan Idang disyaki sebagai dalang penculikan di sebuah restoran makanan laut di Sandakan pada 14 Mei 2015.

Kedua-dua mangsa penculikan itu adalah pemilik restoran Thien Nyuk Fun dan jurutera Sarawak, Bernard Then Ted Fen.

Thien dibebaskan pada 8 November tahun itu tetapi Then dipenggal kepala oleh kumpulan tersebut.

Komando Keselamatan Timur Sabah memasukkan Idang dalam senarai 21 warga asing yang dikehendaki kerana didakwa terlibat dalam jenayah rentas sempadan di Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone). -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.