‘Makcik gelang pink’ pula didakwa

134

14 OGOS: Selepas pencetus kluster Sivagangga didakwa semalam, hari ini satu lagi kes geng gelang merah jambu yang ingkar perintah kuarantin di rumah dihadapkan ke mahakmah.

Kali ini melibatkan ‘wanita bergelang merah jambu’ yang gambarnya sedang menikmati hidangan di kedai makan menjadi tular beberapa minggu lalu sehinga mencetuskan keresahan ramai.

Wanita itu dijatuhkan hukuman penjara selama satu hari dan denda RM8,000 di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini selepas didapati tidak mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian.

Tertuduh, Nur Emah Mohamad Hashim, 72, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan majistret Nabihah Mohd Noor.

Tertuduh dikenakan perintah kuarantin di rumahnya 6 Julai lalu.

Gambarnya memakai gelang merah jambu iaitu gelang yang dipakaikan pada individu di bawah pengawasan (PUS), sedang menikmati hidangan di sebuah medan selera tular di media sosial sebelum ini.

Nur Emah didakwa mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang membawa hukuman di bawah Seksyen 24 (a) akta yang sama.

Nur Emah sebelum ini diperintahkan untuk menjalani kuarantin 14 hari di rumah setelah pulang dari luar negara pada 4 Julai.

Individu yang menjalani kuarantin rumah wajib tinggal di rumah selama 14 hari dan mengambil ujian Covid-19 kedua pada hari ke-13.

Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar perintah kuarantin rumah.

Semalam, pemilik Nasi Kandar Salleh di Napoh, Kubang Pasu yang dikaitkan dengan kluster Sivagangga dijatuhi hukuman penjara lima bulan kerana melanggar perintah kuarantin rumah di bawah Seksyen 15 (1) Akta tersebut.

Orang ramai berulang kali diberi amaran kemungkinan hukuman penjara sekiranya mereka tidak mematuhi perintah kaurantin yang dikenakan ke atas mereka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.