KEMAS tutup TABIKA, TASKA di sebahagian Kedah

71

14 OGOS: Sebanyak 139 taman bimbingan kanak-kanak (TABIKA) termasuk empat taman asuhan kanak-kanak (TASKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di empat daerah di Kedah ditutup sementara berikutan penularan kes COVID-19 membabitkan Kluster Sivagangga.

Daripada jumlah berkenaan, 121 TABIKA dan dua TASKA berada di daerah Kubang Pasu, lapan TABIKA dan dua TASKA (Padang Terap), satu TABIKA (Kulim Bandar Baharu) dan lima TABIKA di Kuala Kedah.

Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Yasid Bidin, tiada tempoh ditetapkan bagi penutupan TABIKA dan TASKA terbabit dan ia bergantung kepada perkembangan dan maklumat lanjut daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Walaupun tiada laporan jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak mahupun ibu bapa, penutupan itu terpaksa dilakukan sebagai langkah awal mengawal penularan wabak.

“Kita perlu mengambil langkah proaktif kerana ia membabitkan kepentingan dan keselamatan murid,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hendry Sum Agong bagi menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Meraikan Sukarelawan Penyediaan set peralatan perlindungan diri (PPE) Kemas Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Terdapat 800 TABIKA dan TASKA di Kedah.

Mohd Yasid berkata, walaupun penutupan itu menimbulkan rungutan dalam kalangan ibu bapa terutama yang bekerja, pihaknya terpaksa melaksanakannya demi keselamatan semua pihak.

“Memang kita ada menerima rungutan daripada ibu bapa yang berhadapan kesukaran untuk menempatkan anak masing-masing ketika mereka keluar bekerja, tetapi kita berharap ibu bapa terbabit dapat bersabar,” katanya.

Sementara itu, sejumlah 2,452 PPE disumbangkan sukarelawan KEMAS Negeri Sembilan kepada petugas barisan hadapan di hospital di negeri itu, bermula 1 April lalu.

Menurutnya, antara peralatan yang disediakan termasuk baju makmal pakai buang, topeng muka, sarung kaki serta sarung tangan dengan bahan mentah dibekalkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS).

Sebanyak 88,210 pasang PPE dihasilkan membabitkan seramai 537 kakitangan KEMAS dan 1,006 sukarelawan di seluruh negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu sehingga hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.