Jualan pulih, tempoh tunggu Perodua dua bulan

27

14 OGOS: Tempahan kenderaan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) kembali pulih dengan tempoh menunggu kini menjadi lebih dua bulan untuk barisan model keluarannya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, ini selepas pembukaan semula aktiviti ekonomi mulai Mei dan pengecualian cukai jualan oleh kerajaan yang kembali memacu permintaan.

Katanya, namun untuk keseluruhan tahun ini, PERODUA terpaksa menyemak semula jualan 15 peratus lebih rendah berbanding sasaran awal selepas mengambil kira impak jualan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, pihaknya menurunkan unjuran jualan keseluruhan tahun ini kepada sekitar 210,000 unit berbanding sasaran asal iaitu sekitar 240,000 unit.

Jelasnya, semakan angka jualan dilakukan selepas syarikat itu melaksanakan kajian bersandarkan data yang dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia dan sektor ekonomi yang terjejas kesan dari pandemik COVID-19.

“Untuk mencapai sasaran asal adalah sangat sukar memandangkan kami berdepan masalah jualan dalam tempoh hampir tiga bulan susulan pelaksanaan PKP.

“Sebelum sasaran baharu dimuktamadkan, kami sudah melakukan kajian ke atas data dan melihat semula perkembangan semua industri di Malaysia seperti makanan, pembinaan, perkhidmatan dan pembuatan pasca PKP,” katanya pada sidang media.

Sementara itu, katanya, bagi mengatasi isu tempoh menunggu, Perodua perlu pastikan vendor mampu menyediakan bekalan bahagian dan komponen dengan baik bagi memenuhi permintaan.

“Ini selepas terjejas dengan ‘tsunami kesihatan’ yang menjejaskan semua sektor ekonomi termasuk automotif.

“Pengecualian cukai jualan 100 peratus untuk kenderaan pemasangan tempatan (CKD) juga memacu permintaan model keluaran kami pasca PKP,” katanya.

Menuju ke hadapan, beliau berkata, PERODUA akan memastikan pengeluaran kenderaan pada Ogos hingga Disember berada pada purata 25,000 unit sebulan iaitu hampir 99 peratus kapasiti yang dimiliki.

“Memang pekerja kami boleh untuk membuat kerja lebih masa, namun kemampuan dan keupayaan vendor juga penting. Jadi, kami akan melihat semua aspek untuk membolehkan purata pengeluaran 25,000 unit dapat dicapai,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.