Acryl Sani dilantik Timbalan Ketua Polis Negara

259

14 OGOS: Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam selepas menerima nasihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

“Hari ini merupakan hari pertama kita meletakkan pemakaian bintang pangkat kepada Acryl Sani dan kita ucapkan tahniah dan syabas kepada beliau dengan kenaikan pangkat beliau, selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Acryl Sani, 59, yang sebelum ini Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, mengambil alih jawatan Timbalan Ketua Polis Negara daripada Datuk Mazlan Mansor yang bersara wajib hari ini.

Beliau yang berkelulusan Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia, menyertai Polis Diraja Malaysia pada 2 Februari 1986 sebagai Kadet Assistant Superintendent of Police (ASP), dan sepanjang perkhidmatannya dalam pasukan polis, beliau telah memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Bukit Aman.

Antara jawatan yang pernah disandangnya adalah Pesuruhjaya Polis Sarawak, Ketua Polis Perak, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi.

Sementara itu, Hamzah berkata, Kementerian Dalam Negeri akan mendapatkan maklumat mengenai data pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di negara ini daripada wakil agensi itu dan Wisma Putra.

Beliau memberitahu, data itu diperlukan untuk membolehkan kerajaan mengkoordinasi usaha dalam menentukan bahawa sesiapa sahaja yang berada di negara ini mempunyai dokumen sah.

“Saya akan memanggil mereka (UNHCR) bersama dengan Wisma Putra untuk memastikan apa sahaja data yang mereka miliki hendaklah mereka serahkan kepada kita,” katanya kepada media di sini ketika mengulas dakwaan lambakan pendatang Rohingya di negara ini yang memiliki kad UNHCR sehingga lebih 85,000 orang.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.