2 rakyat Malaysia di Singapura gagal rayuan hukuman gantung

69

14 OGOS: Dua rakyat Malaysia gagal dalam rayuan untuk menggantung hukuman mati yang dijatuhkan terhadap mereka sementara menunggu siasatan berhubung dakwaan bahawa terdapat penggunaan ‘kaedah ganas dan menyalahi undang-undang’ dalam pelaksanaan proses kehakiman di Singapura.

“Kami tolak rayuan ini,” demikian putus Hakim Mahkamah Agung Singapura iaitu Andrew Phang, Judith Prakash dan Woo Bih Li dalam penghakiman bertulis mereka yang disiarkan dalam laman sesawang mahkamah itu.

Memetik laporan Bernama, kedua-dua rakyat Malaysia iaitu A. Gobi dan K. Datchinamurthy telah disabitkan bagi kesalahan berkaitan dadah dan dijatuhkan hukuman mati.

Mereka mengemukakan permohonan itu pada 28 Januari namun ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 13 Februari.

Afidavit mereka bagi menyokong permohonan itu, antara lain, menyebut bahawa kenyataan media Lawyers for Liberty (LFL) bertarikh 16 Januari yang mendakwa bahawa ia mempunyai bukti kaedah ganas dan menyalahi undang-undang digunakan dalam pelaksanaan proses kehakiman telah dikemukakan sebagai eksibit.

Kedua-duanya, yang diwakili peguam M. Ravi daripada Carson Law Chambers, kemudian mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Mahkamah Agung, ketika memutuskan untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, antara lain berkata kenyataan media LFL tidak mempunyai asas yang mencukupi bagi membolehkan kebenaran diberikan kepada mereka untuk memulakan semakan kehakiman.

“Kenyataan media itu sendiri bukanlah satu bukti yang boleh dipercayai dan kenyataan media LFL, secara khusus tidak menamakan sumber maklumat atau kaitannya dengan kaedah pelaksanaan proses kehakiman pada masa ini,” menurut penghakiman itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.