2 anggota polis kes positif Kluster Muda

142

14 OGOS: Satu lagi kluster baharu (COVID-19) yang dinamakan Kluster Muda dikesan di Kuala Muda, Kedah di kes pertamanya iaitu kes ke-9114 merupakan seorang anggota polis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes yang dilaporkan hari ini iaitu kes ke-9147 juga anggota polis dan merupakan rakan sekerja kes indeks.

Menurut beliau, aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan semalam dan kes dikesan positif hari ini.

“Sehingga 14 Ogos 2020, 124 kontak rapat beliau telah disaring. Daripada jumlah ini, dua kes dikesan positif COVID-19, lima negatif dan 117 masih menunggu keputusan.

“Kesemua kes bagi kluster ini adalah warganegara Malaysia. Pengesanan kes secara aktif sedang diteruskan dan langkah-langkah pencegahan serta pembendungan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, punca jangkitan Kluster Muda masih dalam siasatan.

Berhubung Kluster Tawar, beliau memaklumkan, terdapat 11 kes baharu dilaporkan bagi kluster tersebut hari ini, iaitu 10 kes di Kedah dan satu kes di Pulau Pinang iaitu kes ke-9149.

“Adalah dimaklumkan bahawa kes ke-9129 daripada kluster ini yang dilaporkan semalam telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang daripada sebuah pusat perubatan swasta, namun kes ini kekal didaftarkan sebagai kes di negeri Kedah,” jelasnya.

Dr Noor Hisham memberitahu, sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 261 orang telah disaring dalam kluster tersebut dan sebanyak 21 kes dikesan positif COVID-19.

Seramai 156 orang disaring di Kedah di mana 20 kes dikesan positif COVID-19, 77 individu negatif dan 59 individu masih menunggu keputusan.

Selain itu, 105 orang disaring di Pulau Pinang di mana satu kes dikesan positif COVID-19, 75 individu negatif dan 29 individu masih menunggu keputusan.

“Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kluster ini dan situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.