Selepas Sivagangga, kluster Tawar pula dilapor di Kedah

113

13 OGOS: Selepas kluster Sivagangga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kluster COVID-19 di Kedah dengan yang terbaharu tertumpu di Mukim Tawar, Baling.

Setakat tengah hari ini, sembilan daripada 15 kes baru COVID-19 dilaporkan daripada kluster Tawar dengan punca jangkitan masih dalam siasatan KKM.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama ‘kluster Tawar’ adalah seorang lelaki warganegara Malaysia yang merupakan seorang peniaga.

Katanya, beliau mempunyai sejarah menghadiri upacara keagaamaan bagi mengingati kematian ahli keluarga yang berlangsung selama dua hari bermula 31 Julai dengan dianggarkan 30 orang menghadiri majlis itu.

Jelas Noor Hisham, pada 8 Ogos, lelaki berkenaan mengalami sakit dada selain demam serta telah mendapat rawatan di sebuah pusat perubatan dengan saringan COVID-19 dijalankan pada 9 Ogos dan dikesan positif dua hari kemudian.

“Berikutan itu, aktiviti pengesanan secara aktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan dan sehingga hari ini 86 kontak rapat dan ahli keluarga beliau telah disaring.

“Daripada jumlah ini sembilan kes didapati positif COVID-19 dengan 56 ujian masih menunggu keputusan. Semua yang dikesan positif daripada kluster ini adalah daripada ahli keluarga beliau dengan tiga kes bergejala.

“Semua sembilan kes positif ini mempunyai sejarah menghadiri upacara keagamaan tersebut. Pengesanan kes secara aktif sedang diteruskan dan langkah-langkah pencegahan seperti nyah kuman sedang dijalankan dengan punca jangkitan masih di dalam siasatan KKM,” katanya dalam sidang akhbar di KKM hari ini.

Katanya, siasatan ini turut libatkan sama ada wujud kaitan dengan kluster lain termasuk Sivagangga atau tidak dengan tempoh beberapa hari lagi diperlukan pihaknya.

“Pada masa sama penilaian risiko terhadap kluster ini masih dilakukan untuk menentukan tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Noor Hisham, terdapat dua lagi jangkitan tempatan dilaporkan hari ini dengan yang pertama melibatkan saringan pra pembedahan di sebuah pusat perubatan dan kini telah dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Katanya, satu lagi adalah kes saringan sebelum bertolak ke luar negara membabitkan seorang bukan warganegara di Kuala Lumpur.

“Empat lagi kes adalah jangkitan di luar negara yang melibatkan warganegara Malaysia.

“Kesemua mereka adalah pelajar dengan tiga pulang dari Indonesia dan seorang lagi pulang dari Yemen,” jelasnya yang turut memberitahu tiada pertambahan baru kes kematian hari ini.

Menurut beliau, terdapat 22 kluster yang masih aktif tetapi hanya kluster Tawar yang mencatatkan kes baru hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan kes bergejala di Lembah Pantai melibatkan seorang pelajar yang tular di media sosial telah didapati negatif.

Katanya, ulangan ujian juga didapati negatif dengan tindakan proaktif pengesanan ke atas 54 kontak rapat beliau juga telah disaring dan turut didapati negatif.

“KKM menyeru orang ramai terus mematuhi nasihat kesihatan sebagai sebahagian daripada normal baharu,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.