Sambutan Maal Hijrah lebih ringkas

68

13 OGOS: Majlis sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan bagi permulaan tahun 1442H/2020M hanya akan diadakan secara ringkas di Masjid Negara, 20 Ogos ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sambutan itu bakal diadakan mengikut norma baharu dengan jumlah peserta dihadkan menerusi prosedur operasi standard (SOP) ketat dan mengambil kira penjarakan fizikal bagi mengekang penularan COVID-19.

“Bagi sambutan peringkat Wilayah Persekutuan dan kebangsaan, kita buat dalam bentuk amat ringkas pada petang, insya-Allah akan selesai selepas solat maghrib, serta mengadakan solat hajat pada malamnya.

“Anugerah (Maal Hijrah) akan diadakan pada peringkat kebangsaan di Masjid Negara pada malam itu dalam kapasiti amat terhad dan ringkas, namun tujuannya untuk meninggikan syiar agama serta menzahirkan bahawa semangat hijrah Rasulullah SAW diadaptasi dan dilaksanakan dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Jawatankuasa Task Force Penguatkuasaan Isu-isu Semasa Agama di Media Sosial Bil 1/2020, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Zulkifli berkata, sambutan Maal Hijrah pada peringkat negeri pula tertakluk kepada pengurusan di negeri masing-masing.

Dalam pada itu beliau berharap supaya penubuhan Jawatankuasa Task Force Penguatkuasaan Isu-isu Semasa Agama di Media Sosial dapat menghasilkan penyelesaian bagi isu berkaitan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), penghinaan terhadap agama Islam, ajaran sesat dan ateisme (fahaman tidak mengakui kewujudan Tuhan).

“Saya berharap pelaksanaan yang berkesan dapat dimuktamadkan. Ia bukan untuk menghukum semata-mata tetapi menyelesaikan masalah umat Islam untuk menuju kehidupan lebih harmoni,” katanya.

Beliau berkata, persidangan itu diadakan bagi meneliti dan mengkaji secara mendalam langkah yang boleh diambil terhadap isu menghina agama Islam dalam media sosial dengan mengambil kira aspek tarbiah, penerangan, pemulihan, pencegahan serta undang-undang.

Persidangan sehari itu disertai ahli mesyuarat yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, antara lain wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.