Reman 13 hari Md Rayhan kekal, babit integriti negara

37

13 OGOS: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengekalkan perintah reman 13 hari terhadap warga Bangladesh Md Rayhan Kabir yang didakwa tinggal lebih masa di negara ini.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Imigresen, Fazril Sani Mohamed Fadzil dan peguam C Selvaraja yang mewakili Md Rayhan.

“Tiada sebab untuk saya menyemak semula perintah reman ini kerana tempoh 13 hari adalah yang sepatutnya dan munasabah.

“Pegawai penyiasat dalam laporan mereka menyebut dia (Md Rayhan) direman untuk siasatan dan penahanan dia juga membabitkan integriti negara,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA.

Terdahulu, Selvaraja membuat permohonan semakan perintah reman terhadap anak guamnya yang dikeluarkan oleh Mahkamah Khas Kes Pendatang Tanpa Izin di Semenyih pada 6 Ogos lalu selepas membenarkan permohonan Jabatan Imigresen.

Selvaraja ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu berkata permohonan semakan perintah reman berkenaan dibuat memandangkan pihaknya berpandangan tempoh tahanan 14 hari oleh Jabatan Imigresen sebelum ini sudah cukup untuk melengkapkan siasatan ke atas anak guamnya.

“Anak guam saya ditahan kerana kesalahan tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan dalam perundangan imigresen, apabila seseorang warga asing ditahan, tempoh tahanannya ialah 14 hari.

“Jadi bagi kita, tidak perlu lagi untuk dia direman dan kita juga tidak pasti siasatan apa lagi yang diperlukan Imigresen … itu juga adalah reman kali pertama (Md Rayhan),” katanya.

Md Rayhan, 27, mencetuskan kontroversi menerusi penampilannya dalam satu dokumentari terbitan Al-Jazeera berhubung layanan terhadap warga asing semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 di negara ini.

Susulan itu, Jabatan Imigresen mendapatkan bantuan orang awam untuk menjejaki lelaki itu sebelum ditahan di Setapak, Kuala Lumpur pada 24 Julai lalu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.