Pelitup muka bertatah berlian termahal di dunia

143

13 OGOS: Awal Julai lalu, dunia gempar apabila seorang jutawan di India, Shankar Kurhada membuat pelitup muka dari emas bernilai 2.9 juta rupee (RM170,000) bagi melindungi dirinya daripada wabak COVID-19.

Namun kini, rekod itu bakal diatasi seorang jutawan China apabila beliau dilaporkan menempah pelitup bertatahkan berlian dengan lapisan emas dari Israel yang berharga 5.1 juta shekel (RM6.3 juta).

Menurut laporan media tempatan, ahli perniagaan yang menetap di Amerika Syarikat (AS) itu membeli pelitup khas tersebut dari sebuah syarikat permata terkenal Israel, Yvel di Baitulmuqaddis.

Pengasas firma tersebut dan perekanya, Isaac Levy berkata, pelitup eksklusif itu akan disaluti dengan emas putih 18 karat serta dihiasi sejumlah 3,600 butir berlian warna hitam dan putih.

“Ia dijangka siap menjelang hujung tahun ini dan bakal jadi pelitup muka dengan harga paling mahal di dunia,” jelas pendatang Yahudi berasal dari Argentina berusia 62 tahun itu seperti dipetik daripada akhbar negara berkenaan.

Levy bagaimanapun enggan pula mendedahkan identiti si pembeli tersebut tetapi menjelaskan bahawa pelanggan itu turut menempah pelitup muka jenis N99 yang dianggap sebagai paling baik dari segi kualiti.

Kilang permata beliau yang diusahakan bersama-sama dengan isterinya, Orna Eliav, serta dibuka sejak 2010 lalu, memang ada membuat beberapa pelitup muka bertatahkan berlian dan emas.

“Wang mungkin tidak boleh beli segalanya, namun ia dapat beli pelitup muka COVID-19 termahal dan pelanggan sebegini lazimnya memakainya untuk menarik perhatian dan menyerlahkan kebahagian,” kata Levy.

Beliau menganggarkan berat pelitup muka yang ditempah jutawan itu sekitar 270 gram sahaja iaitu hampir 100 kali ganda daripada pelitup jenis pembedahan biasa dan bukanlah aksesori praktikal.

Secara jujur, Levy sendiri mengakui tidak sanggup memakai pelitup muka mahal itu di jalanan, tetapi bersyukur apabila tempahan tersebut telah meberi peluang pekerjaan kepada ramai petugas Yvel.

Syarikat beliau pada ketika ini hanya menggaji lebih 100 orang pekerja dari 23 buah negara serta memiliki sebanyak lapan cawangan kedai butik jualan termasuk sebuah di New York, AS.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.