Kukuhkan parti, keahlian Bersatu makin bertambah

142

13 OGOS: Fokus Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada masa ini ialah mengukuhkan parti menerusi kerja keras di setiap peringkat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ketika ini semakin ramai berminat dengan Bersatu dengan keahlian terus bertambah dari hari ke hari di seluruh negara walaupun terdapat perkembangan semasa berkaitan.

“Jika mereka mahu kekal (bersama parti) Alhamdulillah. Jika ada yang mahu keluar, tidak ada apa yang boleh saya lakukan,” katanya yang juga Menteri Dalam Negeri ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen di Putrajaya hari ini.

Ditanya sama ada penubuhan parti baharu oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama anaknya akan menjejaskan Bersatu, Hamzah berkata:

“Saya nak maklumkan hari yang mereka kata nak tubuh parti itu, hari itu sahaja saya terima lebih 20,000 borang baharu untuk menyertai Bersatu. Keluar enam orang, masuk 20,000. Kami terima faedah berganda.”

Mengenai urusan pendaftaran parti baharu Dr Mahathir itu, beliau berkata persoalan mengenai perkara tersebut perlu diajukan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Saya menteri yang mengawal selia RoS tetapi saya tak pergi tunggu siapa nak daftar,” katanya.

Ditanya pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Hamzah berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dengan parti-parti terlibat.

“Berikan saya masa untuk berunding dengan kawan-kawan kita,” katanya, menambah beliau telah bertemu dengan beberapa tokoh daripada UMNO, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), PAS berkaitan PRN Sabah itu.

Pada 30 Julai lepas, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri berkuat kuasa serta-merta yang memberi laluan kepada PRN.

Bagaimanapun bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan 32 ADUN lain memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan itu dan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan 17 Ogos ini untuk menentukan sama ada keputusan pembubaran DUN tersebut boleh diadili, iaitu boleh dibicarakan di mahkamah.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.