Konflik dagangan AS-China tak jejas Malaysia

50

13 OGOS: Walaupun konflik perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China masih berterusan di samping penularan pandemik COVID-19, kerajaan yakin kedudukan dagangan Malaysia dengan kedua-dua negara itu berada dalam keadaan kukuh.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ini dibuktikan dengan jumlah perdagangan Malaysia dengan AS merekodkan peningkatan sebanyak 3.1 peratus kepada RM80.41 bilion berbanding tempoh yang sama bagi tahun 2019 bagi tempoh Januari hingga Jun 2020.

Menurut beliau, eksport Malaysia ke AS meningkat pada kadar 2.4 peratus kepada RM46.15 bilion manakala import Malaysia dari AS juga meningkat 4.1 peratus kepada RM34.26 bilion.

“Jumlah perdagangan Malaysia dengan China bagi tempoh Januari hingga Jun 2020 turut mencatat peningkatan sebanyak 0.3 peratus kepada RM149.16 bilion berbanding tempoh yang sama bagi tahun 2019.

“Eksport Malaysia ke China meningkat pada kadar 8.3 peratus kepada RM69.43 bilion. Walau bagaimanapun, import Malaysia dari China menurun 5.8 peratus kepada RM79.73 bilion,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen BN Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyatakan kesan negatif dan positif kepada Malaysia sejak perang dagang antara AS dan China bermula.

Sementara itu, Mohamed Azmin memberitahu, cabaran semasa yang berlaku ini juga turut membuka ruang dan peluang perdagangan dan pelaburan Malaysia.

Beliau menambah, pelbagai pendekatan yang dilakukan oleh Malaysia terus mengekalkan dan menarik pelaburan ke Malaysia khususnya syarikat-syarikat dalam rantaian bekalan global yang juga terkesan dengan perang perdagangan AS dan China serta pandemik COVID-19.

“Penyusunan semula rantaian yang membolehkan produk-produk buatan Malaysia digunakan sebagai penggantian produk import dari China, AS dan negara lain dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi penempatan semula bagi syarikat-syarikat yang terkesan dengan impak konflik perdagangan AS dan China dan pandemik COVID-19.

“Sehingga 31 Mei 2020, MIDA telah memberikan khidmat fasilitasi kepada 86 syarikat asing yang beroperasi di China dan beberapa negara lain yang berminat untuk menempatkan semula aktiviti syarikat di Malaysia. Daripada jumlah ini, MIDA telah berjaya menarik sejumlah 32 projek dengan pelaburan bernilai RM17.5 bilion,” katanya.

Selain itu, Azmin memberitahu, pihaknya juga telah mengambil inisiatif dengan memberi fokus kepada penggunaan teknologi digital dalam membantu syarikat mengurangkan kos promosi eksport dalam memastikan syarikat pengeksport Malaysia kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa.

“Matrade memanfaatkan penggunaan platform digital untuk mengatur pemadanan perniagaan (eBizMatch) diantara pembeli berpotensi dengan syarikat-syarikat pembekal Malaysia. Dari 1 Januari sehingga 31 Julai 2020, sebanyak 576 padanan perniagaan telah diadakan di mana 395 pembeli asing telah dipadankan dengan 538 syarikat Malaysia, menghasilkan potensi jualan sejumlah RM461.35 juta. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.