Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah bakal ditubuh

145

13 OGOS: Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS) bagi memperluaskan bidang kuasa mahkamah syariah, menaik taraf sistem kehakiman syariah serta menyemak semula kedudukan hakim-hakim mahkamah syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kerajaan pernah menubuhkan JKMMS pada Ogos 2017 yang dipengerusikan oleh Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor, bertujuan bagi memartabatkan sistem perundangan syariah secara holistik selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun, jelas beliau, jawatankuasa berkenaan terhenti akibat pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Berikutan itu, Zulkifli memberitahu, kerajaan mengkaji untuk menubuhkan JKMMS bagi meneruskan usaha memperkasakan kuasa mahkamah syariah dan menyemak semula kedudukan hakimnya.

“Selain itu, penyeragaman pentadbiran juga dilakukan melalui pembinaan Arahan Amalan Mahkamah Syariah, Kaedah-Kaedah Mahkamah Syariah dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan digunapakai di seluruh Mahkamah-Mahkamah Syariah.

“Usaha-usaha terbabit dibuat melalui perbincangan dalam Persidangan Ketua-Ketua Hakim Syarie Seluruh Malaysia dan mesyuarat Ketua-Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah,” katan dalam sesi waktu pertanyaan menteri sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen BN Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar yang meminta Perdana Menteri menyatakan adakah pihak kerajaan berhasrat untuk menubuhkan suatu jawatankuasa bagi menstruktur semula pentadbiran dan prosedur yang digunapakai mahkamah syariah.

Tindakan itu perlu bagi menaik taraf perkhidmatan, serta integriti institusi tersebut dalam memastikan setiap pihak mendapat keadilan dengan cepat dan telus memandangkan terdapat keluhan yang dilontarkan bahawa banyak kes yang dikendalikan mengambil masa yang cukup lama untuk diselesaikan.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, inisiatif berbentuk inovasi juga telah diperkenalkan bagi mempercepatkan penyelesaian kes dan kelancaran pengurusan pentadbiran mahkamah antaranya seperti e-Bicara, e-Faraid, Program Perceraian Secara Fast Track di Selangor, Program Sifar Kes Tertunggak (SIKET) di Wilayah Persekutuan, E-Syariah Instant Access Procedure (e-Siap) di Pulau Pinang dan pengenalan sistem i-Tray dan i-Post di Terengganu bagi mempercepatkan penyerahan dokumen dan perintah mahkamah.

“Berkenaan tempoh masa penyelesaian sesuatu kes di mahkamah syariah, ia bergantung kepada pelbagai faktor sama ada dari pihak mahkamah syariah, pihak peguam syarie mahupun pihak-pihak dalam kes itu sendiri.

“Usaha-usaha proaktif telah dilakukan oleh mahkamah-mahkamah syariah melalui penguatkuasaan Arahan Amalan, Kaedah-Kaedah Mahkamah Syariah dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan setiap kes diselesaikan dalam tempoh masa yang munasabah,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.