773 pengembara dari luar negara positif COVID-19

67

13 OGOS: Kementerian Kesihatan mengesahkan 773 daripada 91,385 pengembara dari luar negara yang tiba di Malaysia disahkan positif COVID-19 sehingga 4 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, daripada jumlah itu sebanyak 562 kes dikesan positif menerusi ujian pengesanan pertama, manakala 211 kes lagi menerusi ujian saringan kedua.

Beliau yang juga Ahli Parlimen GPS Kanowit berkata, sebanyak 40 hospital termasuk dua hospital universiti sudah dikenal pasti sebagai Hospital COVID-19 dengan kapasiti maksimum sebanyak 5,500 katil.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan dengan bantuan agensi kerajaan lain membuka 26 pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah dengan kapasiti 1,389 katil bagi merawat pesakit COVID-19 yang mempunyai gejala ringan dan stabil.

Oleh itu, kata Aaron, buat masa ini sebanyak 6,889 katil telah disediakan keseluruhannya untuk menempatkan pesakit COVID-19 dengan kadar penggunaannya sehingga sekarang adalah hanya 15 peratus.

“Terdapat 58 makmal di seluruh negara yang boleh menjalankan ujian pengesanan COVID-19 iaitu 24 di bawah Kementerian Kesihatan, 18 swasta, 13 hospital universiti, dua makmal milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sebuah milik Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi dengan kapasiti maksimum mencecah 38,600 ujian sehari.

“Kementerian Kesihatan juga mempunyai kapasiti sumber manusia yang mencukupi termasuk tambahan sebanyak 2,000 lagi petugas kesihatan kontrak di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) dan dibantu oleh doktor serta pakar perubatan swasta,” katanya dalam sesi soal jawab Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad tentang langkah yang diambil dalam membendung penularan pandemik COVID-19 dalam negara terutamanya setelah sempadan kembali dibuka.

Mengulas lanjut, Aaron berkata, Kementerian Kesihatan juga mempunyai 1,016 klinik, 88 klinik kesihatan ibu dan anak, 1,783 klinik desa dan 279 klinik komuniti di seluruh negara.

Beliau berkata, sebanyak 710 klinik kesihatan menyediakan perkhidmatan makmal di mana 553 mempunyai kabinet biokeselamatan yang kini berkeupayaan menjalankan ujian COVID-19 dengan menggunakan kaedah kit ujian pantas antigen bagi pengesanan awal wabak terbabit.

Tambah Aaron, 486 klinik kesihatan juga sudah dikenal pasti sebagai pusat persampelan COVID-19 bagi pengurusan kejadian wabak. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.