600 syarikat disiasat tipu bidaan tender

75

13 OGOS: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) melakukan siasatan terhadap 600 syarikat disiasat membabitkan kes penipuan bidaan bernilai tender berjumlah RM5.9 bilion.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata siasatan yang dilakukan MyCC itu membabitkan tender yang dikeluarkan kementerian, agensi kerajaan dan syarikat swasta.

“Isu penipuan bida ini menjadi tumpuan utama MyCC kerana setiap tahun kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan badan berkanun memperoleh barangan dan perkhidmatan melalui tender awam bernilai lebih RM150 bilion.

“MyCC pada masa ini sedang menyiasat beberapa kes penipuan bida yang membabitkan tender beberapa kementerian, agensi kerajaan dan syarikat swasta dengan nilai tender yang disiasat dan diteliti dianggarkan berjumlah RM5.9 bilion,” katanya pada sesi Kamar Khas di Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) mengenai rancangan kerajaan bagi membendung masalah penipuan bida, apakah rancangan kerajaan untuk memperkasakan peranan MyCC dan dakwaan oleh Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) kononnya wujud kartel tender oleh kontraktor pembinaan.

Menjawab soalan Robert mengenai aduan PKBM, Alexander berkata, MyCC sudah berjumpa dengan ahli PKBM dan siasatan berhubung dakwaan itu sedang dilaksanakan.

“MyCC percaya bahawa penguatkuasaan bukan penyelesaian total bagi isu tipuan bida. Oleh itu, MyCC menjalankan program advokasi yang objektifnya mempertingkatkan kesedaran mengenai Akta Persaingan dan isu persaingan melalui program advokasi.

“Sejak tahun 2011, 50 program advokasi mengenai tipuan bida dibuat untuk agensi kerajaan, pemain industri, persatuan peniaga, badan professional, institusi pendidikan dan orang awam sendiri,” katanya.

Beliau berkata, MyCC juga aktif dalam memberikan input serta nasihat dasar kepada pihak kementerian berkaitan isu persaingan.

Jelasnya, sebanyak tujuh nasihat dasar dikeluarkan berkenaan isu tender kerajaan termasuk isu penipuan bida.

“Antara isunya adalah meletakkan terma tender yang menjuruskan kepada jenama khusus, tender tertutup, terma tender yang memberi peluang lebih kepada pihak-pihak tertentu dan sebagainya,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.