Tuduhan polis tak jaga solat keterlaluan

54

12 OGOS: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan dakwaan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menjaga solat sebagai keterlaluan.

Beliau berkata, isu dibangkitkan pemilik Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut itu juga tidak sepatutnya dilakukan dalam khalayak ramai.

“Ini (solat) soal kita dengan Tuhan dan PDRM tidak pernah ketepikan. Didikan moral dan agama sentiasa disemarakkan dalam pasukan.

“Orang kena tahu yang PDRM juga ada hafiz dan setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara mempunyai surau,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata pihaknya menyediakan prasarana dan sentiasa memberi ruang untuk setiap pegawai dan anggota melaksanakan kewajipan masing-masing.

“Saya tidak boleh paksa semua orang sembahyang. Itu antara diri masing-masing dengan Tuhan,” katanya.

Menurut Abdul Hamid, setiap calon konstabel dan pegawai bagi pengambilan baharu juga diwajibkan menjalani ujian agama.

“Ini sudah lama dilakukan dan ujian kefahaman asas agama kepada calon agama Islam ini membolehkan PDRM nilai siapa yang layak untuk menjadi anggota polis.

“Dalam Rukun Negara juga jelas mengatakan yang asasnya adalah Kepercayaan Kepada Tuhan. Pucuk pimpinan tidak mahu orang berisiko diberi kuasa,” katanya.

Semalam, satu klip video berdurasi 31 saat memaparkan Mohd Asri, 42, dalam satu sidang media mendakwa anggota polis serta tentera tidak menjaga solat.

Kenyataan Mohd. Asri mengundang kecaman hebat netizen yang menyifatkan dakwaan itu sebagai keterlaluan apabila memperosoalkan amal ibadat orang lain.

Polis yang menerima dua laporan akan membuka kertas siasatan ke atas pengusaha burger itu.

Sebelum ini, Mohd Asri mendapat perhatian ramai apabila mendedahkan aktiviti perniagaan haram di sekitar Sungai Buloh.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, Mohd Asri akan dipanggil untuk diambil keterangannya dalam minggu ini oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ.

Beliau berkata siasatan dijalankan selepas dua laporan polis yang dibuat di Balai Polis Travers dan Balai Polis Jalan Tun Razak, hari ini. 

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.