Surat mohon bubar DUN Sabah rujuk peruntukan salah

294

12 OGOS: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee mendakwa terdapat kesilapan dalam surat memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang ditandatangani Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, surat yang ditularkan di laman media sosial Timbalan Ketua Menteri Sabah itu dikhuatiri terdapat kesilapan besar mengenai kuasa peruntukan Perlembagaan negeri.

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu berkata, surat bertarikh 29 Julai ditandatangani dan diserahkan Mohd Shafie kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin menimbulkan persoalan bahawa presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu melakukan kesilapan besar.

Yong Teck Lee

“Surat itu menasihati Tuan Yang Terutama untuk menyetujui pembubaran Dewan seperti yang terkandung dalam Pasal 10 (1) (2) (b) Perlembagaan Sabah.

“Yang pastinya, tidak ada Artikel 10 (1) (2) (b) yang dimaksudkan dengan Perlembagaan. Jadi, surat itu sendiri adalah satu kesalahan. Adapun Pasal 10 (2) (b), undang-undang ini memberikan kebijaksanaan kepada Tuan Yang Terutama untuk tidak membubarkan DUN.

“Konon minta bubar tetapi undang-undang yang dipakai adalah jangan bubar. Ini lah namanya pai ulung (silap besar),” katanya menerusi rakaman video yang disiarkan di media sosial hari ini.

Teck Lee menyimpulkan surat itu sebagai satu kesilapan besar kerana dihantar kepada Juhar tanpa meneliti peruntukan undang-undang berkaitan terlebih dahulu.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dijangka membuat keputusan 17 Ogos ini sama ada mempunyai kuasa untuk mengadili mengenai isu pembubaran DUN Sabah setelah difailkan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan 32 yang lain.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.