Subsidi ditambah, MAFI perlu lebih peruntukan

90

12 OGOS: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), terpaksa memohon peruntukan tambahan sebanyak RM110 juta daripada kerajaan bagi mengimbangi bajet asal yang tidak mencukupi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata kementerian terpaksa berbuat demikian kerana terdapat rasionalisasi pembayaran subsidi padi kepada petani di seluruh negara oleh Kementerian Kewangan.

Ahmad berkata satu lagi faktor adalah berikutan peningkatan pemberian baja padi kepada petani di seluruh negara.

“Pertamanya pada 2018 kita diberikan peruntukan RM516.19 juta untuk pembayaran subsidi harga padi dan kita diberikan jumlah sama pada 2019 sedangkan kita sudah tingkatkan daripada RM300 kepada RM360 per tan matriks padi. Maknanya kita mengalami kekurangan RM60 bagi setiap tan matriks padi. Sebab itulah kita meminta peruntukan tambahan sebanyak RM110 juta.

“Keduanya, untuk subsidi baja padi pada 2018 kita mendapat RM465 juta tetapi pada tahun 2019 kita hanya dapat RM232 juta iaitu pengurangan lebih separuh, sekali gus menyebabkan kita kena minta lagi RM150 juta.

“Begitu juga dari segi insentif pengeluaran padi pada 2018 kita mendapat RM563 juta, manakala pada 2019 kita hanya mendapat RM281.5 juta kerana rasionalisasi dibuat oleh MOF. Jadi kita kena minta bajet tambahan,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad juga mengesahkan bahawa buat masa ini, tahap sara diri (SSL) negara melebihi 70 peratus dan mampu bertahan selama tiga bulan.

Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) negara secara keseluruhannya meningkat di kedudukan ke-28 daripada 113 negara pada 2019 dengan skor 73.8, yang dianggap ‘pencapaian baik.’

Get real time updates directly on you device, subscribe now.