PRK Slim: Amir Khusyairi calon Bebas disokong PH

143

12 OGOS: Parti Pejuang yang baru ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad memilih peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.

Walau bagaimanapun, beliau akan bertanding sebagai calon Bebas dan bukannya atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Pengumuman itu dibuat pada Majlis Memperkenalkan Calon PRK DUN Slim di Bilik Gerakan Utama, Taman Slim Permata di Slim River, Perak malam ini.

Amir Khusyairi, 38, bakal berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz.

Penyampaian watikah beliau sebagai calon Bebas disempurnakan oleh Dr Mahathir sendiri.

Walaupun Dr Mahathir pernah menyatakan Pejuang tidak terikat dengan mana-mana gabungan politik, kelihatan berapa pemimpin PH turut berada di pentas.

Antaranya ialah Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu dan Timbalannya, Datuk Salahuddin Ayub; Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dan Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang.

Kehadiran mereka sekali gus menimbulkan persoalan sama ada PH sekali lagi menyokong calon Bebas dalam PRK DUN Slim, seperti yang berlaku dalam PRK DUN Chini sebelum ini.

Sementara itu, pemimpin Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam sidang media selepas majlis tersebut mengesahkan cadangan meletakkan calon Bebas telah direstui oleh PH.

Amir Khusyairi yang juga pula menyatakan beliau tidak dibenarkan bercakap panjang semasa sidang media.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.