PRK 4 DUN di Pulau Pinang?

442

12 OGOS: Kerajaan negeri Pulau Pinang akan meneruskan pembentangan usul bagi mengisytiharkan pengosongan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak lagi menyokong Pakatan Harapan (PH).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, tindakan itu adalah selaras dengan Perkara 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang iaitu seorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya setelah melepas, dilucutkan keahliannya atau berhenti menjadi ahli politik atau dipilih sebagai calon parti politik lain.

“Tindakan beberapa ADUN yang tidak mengosongkan kerusi mereka setelah memilih untuk tidak bersama PH adalah satu tindakan yang bertentangan dengan Perlembagaan negeri,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Georgetown, hari ini.

Pengerusi PH Pulau Pinang itu memberitahu, pembentangan usul itu di Dewan Undangan Negeri yang dijadual pada Oktober depan, adalah atas inisiatif kerajaan negeri berlandaskan prinsip demokrasi untuk membolehkan ADUN berbahas sebelum apa-apa keputusan dicapai.

“Andai kata usul itu diluluskan, Perkara 14A (4) Perlembagaan Negeri seterusnya memperuntukkan bahawa Yang Dipertua Dewan hendaklah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan kekosongan itu untuk membolehkan pilihan raya kecil kawasan berkenaan dijalankan,” jelasnya.

Beliau yang juga ADUN Padang Kota berkata akan berbincang dengan Penasihat Undang-undang Negeri dari segi politik dan perundangan sebelum membentang usul itu dalam sidang DUN nanti.

Kon Yeow mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan yang berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang harus melucutkan empat ADUN mengikut undang-undang antilompat parti negeri itu, jika pembangkang benar-benar mahukan undang-undang berkenaan dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

Takiyuddin ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat Isnin lalu berkata Perkara 10(1)(c) jelas menyatakan kebebasan individu untuk berpersatuan dan jika Perlembagaan Persekutuan (Perkara 10(1)(C)) tidak benarkan semua warganegara untuk membentuk persatuan, baru kerajaan boleh gubal akta orang lompat parti.

Empat ADUN yang mengumumkan tidak menyokong PH ialah ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifli Md Lazim dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), manakala ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin dan ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim dari PKR digantung keahlian oleh parti mereka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.